TANAH
negeri ini ramai melahirkan tokoh pejuang. Siapa yang tidak tahu
mengenai ‘orang gunung’, yang amat digeruni penjajah British satu ketika
dulu. Ini adalah negeri di mana JWW Birch mati ditikam Si Puntum ketika
mandi di Sungai Perak. Ini negeri yang terkenal dengan durian Bota yang
lazat. Inilah Perak Darul Ridzuan, negeri yang tak pernah putus
mencatatkan sejarah.
“Demokrasi telah mati” (Paul Kingsnorth). Rakyat Perak sama sekali
tidak boleh melupakan saat tumbangnya kerajaan yang dipilih secara sah
pada PRU-12 pada 2008. Barisan Nasional (BN) menguasai semula Perak
pada 5 Februari 2009 dengan jalan cara tidak bertamadun membelakangi
perlembagaan.
Bukan saja dikhianati, rakyat Perak menjadi mangsa momokan api
perkauman dan agama yang dicanang UMNO segenap pelusuk kampung, segenap
pelusuk pekan.
Rampasan kuasa Perak adalah sebuah titik hitam dalam sejarah Malaysia
yang membuktikan “segalanya adalah mungkin”. Inilah harinya institusi
kehakiman negara gagal berfungsi dalam memberi keadilan yang sepatutnya.
Justeru, tarikh ini juga memperlihatkan bagaimana BN menggunakan
institusi istana yang mencalit arang ke atas perlembagaan negeri. Inilah
tarikh suara rakyat dikhianati.
Apa BN beri pada rakyat Perak?
Kalau dulu, BN kecundang mengejut, kita tidak boleh menolak
kemungkinan mereka akan terus kecundang atas kebobrokan dan kerakusan
kuasa menjarah harta negeri dan rakyat. Itulah matlamat utama mereka.
Sudah menjadi amalan UMNO-BN untuk mengkayakan anak-pinak dan kawan
sendiri berbanding rakyat.
Ketika membahaskan Belanjawan 2012 Perak yang dibentangkan Menteri
Besar tidak sah Zambry Abdul Kadir, Setiausaha DAP Negeri Perak, Nga Kor
Ming berkata, negeri Perak telah mencatatkan belanjawan defisit
setinggi RM50.14 juta yang mana ia adalah yang tertinggi sepanjang tiga
penggal beliau berada dalam sidang Dun.
“Kalau dibandingkan dengan 2011, defisit RM50.14 juta merupakan satu
peningkatan mendadak sebanyak RM20.45 juta. Paras hutang negeri kini
mencipta sejarah paling teruk dengan jumlah hutang negeri meningkat
kepada RM975 juta setakat 15 November 2011. Ia satu pertambahan sebanyak
RM72 juta dalam tempoh 12 bulan berbanding jumlah hutang pada 2010 yang
berjumlah RM903.8 juta,” ujar beliau.
Tambah beliau, perkara paling membimbangkan, hutang negeri
mencatatkan peningkatan 535 peratus dari RM182 juta pada 2000 kepada
RM975 juta pada 2011.
Berbeza dengan pentadbiran kerajaan PR Perak sebelum dirampas. Rakyat
terbanyak mendapat santunan terbaik dengan pemberian geran tanah
melangkaui batas bangsa dan agama. Kepentingan utama adalah hak rakyat
dan bukan hak segelintir taukeh Cina yang menjadi kawan baik, kroni
rapat UMNO-BN.
Krew Roketkini.com dan The Rocket mengambil kesempatan memanjangkan
langkah ke Perak untuk melihat sejauh mana aspirasi rakyat Perak dalam
pilihan raya umum 5 Mei akan datang selepas rampasan kuasa 5 februari
2009.
Ikuti perkembangan terkini DAP dan PR Negeri Perak dalam berita dan
rencana seterusnya memberi fokus kepada persiapan pilihan raya parti
mendepani cabaran dan rintangan demi mendaulatkan undang-undang dan
mengangkat martabat rakyat.
-Roketkini.com
0 Komen pengunjong :