KUALA LUMPUR: Tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya
Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 lalu, kini sudah genap malah sudah
lebih dua hari jika dikira sehingga tarikh hari ini 10 Mac 2013.
Rata-rata
rakyat mula bercakap tentangnya yang selama ini tidak sabar menantikan
bilakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan tarikh
pembubaran Parlimen untuk diadakan PRU13.
Bairpun perkiraan mudah
itu tidak termaktub dalam perlembagaan, namun bagi mereka, kerajaan BN
bermula tarikh 9 Mac 2013 iaitu semalam, sudah dianggap kerajaan
sementara (caretaker) kerana pentadbirannya sudah melebihi mandat lima
tahun yang diberikan oleh rakyat pada PRU12 lalu.
Penantian
rakyat untuk PRU13 sejak lebih tiga tahun lalu ini terus membawa kepada
satu persoalan baru, iaitu mampukah kerajaan yang BN yang dipimpin Najib
pada hari ini mematuhi prinsip-prinsip umum kerajaan caretaker.
Antara
perinsip umum tersebut termasuklah memisahkan Umno BN dari kerajaan,
tidak boleh meluluskan projek mega dan tidak boleh membentuk dasar-dasar
baru yang mengikat kerajaan yang dibentuk selepas PRU13.
Ini
satu lagi faktor yang akan dinilai oleh rakyat terhadap tahap 'keadilan'
dalam proses berdepan pilihan raya seperti yang dituntut dalam beberapa
himpunan Bersih sebelum ini.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam
satu kenyataan semalam berkata, Malaysia boleh mencipta sejarah dunia
dan disenarai dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang paling
lama berada dalam keadaan teka-teki tarikh pilihan raya di mana kempen
pilihan raya telah bermula sejak empat tahun dahulu lagi.
Malah,
beliau juga telah menganggap Najib secara tidak rasminya bukan lagi
perdana menteri yang sah bermula tarikh 9 Mac iaitu semalam.
"Apatah
lagi Najib merupakan Perdana Menteri paling lama tanpa mandatnya
sendiri iaitu hampir empat tahun," katanya yang turut melontar persoalan
adakah Najib akan membubarkan parlimen pada tarikh 11 Mac 2013 iaitu
esok jam 11.11 pagi.
Barang diingat, Najib menjadi perdana
menteri hanya bermula 3 April 2009 iaitu bagi menggantikan Abdullah
Badawi yang gagal memperoleh dua pertiga kerusi parlimen pada pilihan
raya 2008 yang menyaksikan Tsunami politik dalam negara ini.
Dengan
kata lain, jawatan perdana menteri yang disandang Najib sehingga hari
ini, masih lagi atas mandat Pak Lah pada 2008 dan bukan mandat diri
beliau sendiri.
Bagi Ketua Penggerak Pemantau PRU Kelantan,
Mohammad Faizal Che Yusof pula, tempoh melebihi lima tahun ini satu yang
luar biasa bagi negara ini.
Maka katanya, sangat wajar bagi
kerajaan yang disifatkannya juga sebagai caretaker ini untuk menghormati
konvensyen yang diterimapakai oleh kebanyakan Negara demokrasi dunia
hari ini berhubung prinsip-prinsip umum kerajaan caretaker.
"Harus diingat, melepasi lima tahun mandate yang diberikan oleh rakyat adalah suatu keluar biasaan amalan di Malaysia.
"Meskipun
Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hal berkaitan kerajaan
caretaker, sebagai sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi
pilihan raya, konvensyen yang mengiktiraf prinsip-prinsip kerajaan
caretaker ini perlulah dihormati," katanya.
0 Komen pengunjong :