Pencerobohan: PAS desak Najib panggil sidang tergempar

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJ0pEpz61SpqmgTChPxJHXDFy7aMO_yEmQHBr7KkGSgP_kkzfl3CvT5FiwwgiAJundOhFvQZQCliYjC_TK2pqc1CAc1jGuSQJFCXgV44qrccVrMYMtYn2MZJ0YXCDD-ZCERVd1NTWDtN0x/s1600/Salahuddin+Ayub.jpg

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan di Sabah yang didakwa kini telah menumpahkan darah.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata, Najib perlu bertindak segera ekoran perkembangan terbaru menunjukkan keadaan keselamatan negara dalam bahaya.

"Saya mendesak perdana menteri memanggil sidang tergempar parlimen berhubung isu keselamatan negara yang kini sangat serius.

"Kita desak beliau menjelaskan kepada parlimen, apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana perairan negara boleh diceroboh," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian, berikutan laporan terbaru bahawa dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina hari ini.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Sementara itu, Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan dari pihak polis berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, rakyat kini menunggu dengan penuh persoalan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya terdapat bayak versi cerita yang akhirnya mewujudkan kekeliruan dan meletakkan rakyat dalam ketakutan.

"Rakyat Malaysia perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

0 Komen pengunjong :