Umno nampaknya terpaksa menyertai pilihan raya umum ke 13 dalam keadaan serba pincang.
Dengan kumpulan tukang kempen utama mereka iaitu Wanita Umno lumpuh
ekoran tragedi lembu masuk kondo dan tanah LTAT, Umno hilang penggerak
utama mereka.
Sekarang ini ke mana Wanita Umno bergerak dalam baju merah puteh mereka, bunyi 'mooo' akan dibuat.
Skandal tanah Ketua Wanita Umno Selangor pula memperlihatkan
bagaimana Umno mengorban kepentingan anggota tentera untuk kroni mereka.
Pada awal April 2012 lalu, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah, Wanita
Umno Selangor yang juga Exco Wanita Umno Malaysia dilantik sebagai
senator yang baru.
Beliau menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno yang terpaksa berundur kerana skandal lembu masuk kondo.
Namun, selepas itu meletus skandal LTAT yang didedahkan oleh bekas
rakan perniagaan isteri perdana menteri, Deepak Jaikishan dan
diperjelaskan lagi oleh Rafizi Ramli yang sebelum itu 'membunuh' kerier
politik Shahrizat.
Pemuda lumpuh
Ketika tukang kempen mereka lumpuh, Pemuda Umno juga tidak kelihatan bergerak.
Kalau selama ini bilik gerakan Umno banyak dipenuhi oleh tenaga muda mereka, kini Pemuda juga sunyi sepi.
"Tidak ada wang bang, macamana nak gerak," kata seorang pemimpin muda Umno kepada penulis.
Berikutan tindakan pimpinan Umno yang terlalu takut kepada Tun Dr
Mahathir, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sehingga kini tidak
mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan.
Akibatnya, sumber kewangan untuk menggerakkan Pemuda Umno terputus langsung.
Sedangkan semua tahu memang menjadi budaya dalam Umno tanpa wang semua kerja tidak boleh jalan.
Keadaan itu semakin parah apabila semua ketua-ketua pemuda Umno negeri juga dilantik Khairy.
Hasilnya sebagaimana Khairy bermasalah di pusat, ketua-ketua pemuda negeri pula bermasalah di negeri masing-masing.
"Masalah paling besar kepada pemuda adalah apabila Khairy
diketepikan, tidak ada mana-mana pihak yang berani mendekati atau
membantu Khairy.
"Ini kerana mereka tidak mahu dilihat membantu atau bersama Khairy
kerana takut diserang oleh orang PM dan juga orang Tun (Dr Mahathir).
"Hasilnya Khairy sedang mati perlahan-perlahan bersama seluruh jentera pemudanya," kata sumber itu.
Yang terakhir, apabila pemuda mencalonkan 25 nama dari kalangan
mereka untuk dijadikan calon dalam polihan raya ini, hanya dua nama saja
yang lekat.
Kini pemuda menunggu masa saja untuk bertindak, apatah lagi kalau pemilihan calon ini menjadi realiti nanti.
Azalina
Di samping pemuda dan wanita, semua terasa sejak Datuk Azalina Othman
Said meninggalkan Puteri Umno, sayap Umno untuk wanita muda ini
seolah-olah sudah tidak ada.
Dengan berketuakan pemimpin dari Sabah, Puteri Umno seolah-olah sudah tidak ada lagi di medan.
Serangan Najib terhadap Azalina ketika beliau baru mengambil alih
pucuk kepimpinan negara dari Pak Lah benar-benar menghiris Azalina.
"Kita bukan mahu melihat muka menterinya, kita hendak melihat
tempat-tempat pelancongan," begitulah kira-kira kata Najib membidas
bilboard pelancongan yang dipasang Azalina untuk membuat promosi ke atas
kawasan pelancongan di negara ini.
Hasilnya tidak lama selepas itu semua bilboard ini jatuh bersama jatuhnya Azalina dari arus perdana politik Umno dan Malaysia.
Namun manusia ini sama saja. Ia lebih mudah melihat kesilapan mereka
yang bekerja tetapi sukar untuk melihat mereka yang tidak bekerja dan
diri mereka sendiri.
Kalau dulu Najib marah kerana muka Azalina dalam bilboard
pelancongan, sekarang muka Najib bukan di bilboard saja bahkan di
mana-mana. Hatta pintu tandas pun ditampal gambar Najib.
Tidak cukup dengan itu, semua pengundi baru akan menerima surat
bermuka Najib memujuk dan merayu mereka agar memberikan peluang sekali
lagi kepada BN.
"Terharunya...takkan sampai merayu begini sekali. Sampai minta maaf
segala," kata seorang gadis yang menerima surat Najib. Beliau adalah
antara kira-kira 5.2 juta pengundi baru yang bakal mengundi buat pertama
kalinya.
Selain wanita, pemuda dan puteri, ramai yang beranggapan, Putera Umno hanya tingga Datuk Azeez (Abdul Rahim) seorang sahaja.
Ini kerana, inilah saja muka dipromokan termasuklah kononnya dilantik
menjadi duta oleh negara Palestin. Padahal lebih 1,000 orang telah
dilantik oleh kerajaan Hamas untuk menjadi duta kepada negara dan
perjuangannya.
Dengan ketiga-tiga sayap utama lumpuh dan sayap Putera tinggal Azeez seorang, bagaimanakah Umno mahu meneruskan peperangan ini.
Najib bukan sahaja berdepan dengan Deepak Jaikishan, sekarang PI Bala
juga balik untuk meranapkan lagi kredibiliti beliau. Hantu Altantuya
akan mengejar ke mana-mana beliau pergi.
Hatta perbelanjaan jutaan ringgit untuk membawa penyanyi Gangnam
Style, Psy, juga masuk ke dalam longkang sahaja apabila penonton sepakat
berkata "NO" kepada Barisan Nasional.
Memang Tun Dr Mahathir berusaha untuk menukar jeneral perang Umno
ini, namun dengan satu kes sahaja dibuka, iaitu RCI Sabah, Mahathir
terpaksa melutut kepada Najib.
TV3 dengan bangganya melaporkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad antara tetamu VIP yang turut menyambut kepulangan Perdana
Menteri Malaysia dari luar negara.
Inilah dilema besar Umno. Muhyidin Yassin dimalukan di Sabah bahkan
Ng Yen Yen juga dimalukan di majlisnya sendiri di Jonker Walk, Melaka.
Umno hadapi perang kali ini dengan semua jeneralnya tempang...yang
tinggal hanya tukang raba yang sedang mencatur dalam War Room Umno.
0 Komen pengunjong :