LENGGOK dan rentak pilihan
raya umum makin memnas, daripada rentak inang sudah bertukar zapin.
Hanya waktu yang menentukan bila rentak akan berubah kepada punk rock.
Menang atau kalah parti yang bertanding adalah soal kedua, paling
penting; apa dan bagaimana hala tuju negara ini selepas pilihan raya
umum kelak.
Bagi Barisan Nasional (BN), negara akan huru-hara dan ekonomi akan
tersembam jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Sehingga ada yang masih
percaya, kita akan makan ubi kayu seperti zaman penjajahan Jepun di
bawah kerajaan PR. Maka oleh itu, tidak kira samada pemimpin BN itu
korup dan jahat sekalipun, parti itu perlu dikekalkan pemerintahannya
sehingga kiamat.
Sama
seperti tahun kegemilangan BN yang lampau, mitos sebegini terus dizikir
saban hari biarpun tidak masuk akal waras. Maka, tidak hairanlah jika
ada segelintir masyarakat kita yang lebih gemar membaca berita hantu
penanggal tersangkut di tiang elektrik daripada membaca berita derita
kemiskinan golongan terpinggir di Sabah dan Perak.
Akan tetapi, lain pula halnya dengan PR. Dengan pengalaman panjang
melayan karenah birokrasi dan dizalimi pemerintah BN, ia tidak
menjadikan gabungan oposisi ini lupa diri.
PR berpegang kepada prinsip meraikan kepelbagaian pendapat, gabungan
oposisi ini percaya dan mahu masyarakat Malaysia dan negara dibebaskan
daripada belenggu pembodohan, hegemoni kaum dan agama, rasuah dan salah
guna kuasa yang dibudaya kerajaan BN selama ini.
PR mahu dasar ekonomi, kebajikan rakyat, kesihatan, keselamatan dan
demokrasi diperbaiki. Maka, untuk itu, rakyat harus diyakinkan untuk
melakukan tsunami kedua. Merubah pentadbiran Kerajaan Persekutuan BN
kepada Kerajaan Persekutuan PR.
Jauh panggang daripada api: huru hara sekadar fantasi
Mahu atau tidak, mitos huru-hara dan makan ubi kayu yang diiya-iyakan
BN itu memaksa kita untuk berfikir sejauh mana kebenaran dakwaan itu
berdasarkan fakta.
Pertama, apabila PR berjaya membentuk kerajaan di lima negeri pada
Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, negeri itu terus ditadbir seperti
biasa, tidak ada kakitangan kerajaan yang dipecat semata-mata kerana
perbezaan fahaman politik. Orang yang sama juga sebagai kerani dan
pegawai itulah sebagai PTD.
Kedua, negeri PR mencipta rekod pertumbuhan ekonomi yang
memberangsangkan serta diperakui Jabatan Audit Negara sendiri.
Pertumbuhan ekonomi negeri PR jauh lebih tinggi daripada kadar
pertumbuhan ketika ditadbir kerajaan BN. Paling penting, negeri semakin
makmur malah hutang negeri semakin berkurang.
Ketiga, rakyat di negeri PR menerima lebih banyak manfaat seperti air
percuma, peluang pekerjaan bertambah, bantuan masuk ke universiti, skim
usia emas, khairat kematian, skim mikro kredit untuk peniaga kecil dan
pelbagai lagi sehingga ia memaksa BN sendiri meniru dasar kebajikan
negeri PR. Langsung, ia memaksa kerajaan Persekutuan BN ‘mengorek
tabung’ dan menambah lagi hutang negara untuk memberi insentif ekspress
kepada rakyat seperti BR1M, tayar teksi, kedai murah, baucher buku dan
lain-lain.
Hanya bersandarkan tiga fakta itu tanpa perlu dipanjanglebarkan lagi,
kita tidak dapat melihat bagaimana mungkin huru-hara akan tercetus jika
PR memerintah? Atau, sememangnya BN dikejar dosa silam yang mereka
lakukan sehingga tercetusnya fantasi liar ini.
PR setia pada Malaysia, daulatkan Perlembagaan Persekutuan
Himpunan Mansuh ISA, Himpunan Hijau, Himpunan Bersih, Himpunan
Kebangkitan Rakyat dan sebagainya bukanlah huru-hara seperti yang
dimomok media kawalan BN. Ini adalah hak yang diberikan Perlembagaan
Persekutuan kepada rakyat Malaysia. Himpunan aman cuma menjadi kacau
bilau apabila pihak keselamatan digunakan untuk kepentingan BN. Lihatlah
dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 baru-baru ini, semuanya
berjalan lancar jika tiada kanister yang berterbangan.
Melihat kembali sejarah negara, tukang buat kecoh, budaya samseng dan
huru-hara dikepalai BN sendiri. Sebagai contoh mudah, lihatlah
bagaimana BN meyalahguna kuasa melancarkan kudeta (rampasan kuasa)
menggunakan Akta Darurat terhadap Kerajaan Kelantan yang baru dimenangi
PAS pada 1978 dan kita juga takkan lupa dengan apa yang berlaku di Perak
pada 2009. Mujurlah di sini bukan Afghanistan. Rakyat Perak masih
mampu bersabar dan tidak melancarkan ‘jihad’ ke atas BN.
Bagaimanapun, kita juga percaya, ahli biasa BN sendiri (UMNO-MCA-MIC
dan lain-lain) dan seluruh rakyat Malaysia amnya mahu negara ini terus
berada dalam keadaan aman dan damai, mengamalkan prinsip rukunegara,
menjunjung Demokrasi Berperlembagaan dan menumpahkan taat setia ke bawah
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Jadi, persoalan mudah
telahpun dijawab, kalau bukan PR, gerangan siapa pula yang mahu
mencetuskan huru-hara? Hantu susu?
– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :