Dalam keadaan sekarang pun Dr M mahukan UMNO memenuhi kemahuan beliau

http://www.loyarburok.com/wp-content/uploads/2011/12/time_mahathir1.jpg

Mahathir merupakan penyebab utama UMNO itu menjadi carca marba. Bagi saya Pakatan Rakyat sekarang hanya perlu menumpukan masa untuk memikirkan menyelaras dan memperkemaskan persediaan untuk melalui peralihan kuasa yang bakal berlaku jika di izin Tuhan. Di dalam UMNO sudah ada orang yang membuatkan parti itu berkecamuk dan pembangkang tidak payah bersusah payah sangat untuk menurunkan parti itu dari berkuasa. Di dalam BN itu sendiri ada Dr Mahathir untuk menjatuhkan UMNO dan BN itu.
Buat setakat ini BN sudah menentukan nasibnya sendiri kerana BN hanya ada UMNO di Semenanjung ini. MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain sudah boleh dianggap tidak ada lagi. Yang ada hanyalah UMNO yang kini sedang di lemahkan oleh Dr Mahathir sendiri. Seperti biasa apabila sampai sahaja pilihanraya Mahathir akan memainkan peranan untuk melemahkan UMNO itu. Jika dalam pilihanraya dahulu beliau keluar dari UMNO, kali ini beliau dari awal-awal lagi telah meminta Najib meletakkan jawatan jika perolehan UMNO dalam pilihanraya kali ini lebih buruk dari pilihanraya yang lalu. Mahathir mahukan Muhyiddin mengambil alih seperti Najib mengambil alih kuasa kerana kekalahan UMNO yang teruk di banyak kerusi dalam PRU dahulu.
Itulah dia Dr Mahathir. Semasa beliau menjadi PM beliau pantang menerima teguran dari bekas PM negara sebelum beliau. Tetapi setelah beliau melepaskan jawatan beliau akan bertindak untuk masuk campur dalam urusan pengganti-pengganti beliau. Sesungguhnya Dr Mahathir masih merasakan yang beliau adalah seorang yang paling berkuasa sehinggakan semua dalam UMNO itu mestilah mengikut arahan dan mendengar pandangan beliau sahaja. Dr Mahathir ini berfikir seolah-olah beliau boleh mengubah segala-galanya. Beliau seolah-olah boleh menjadikan matahari naik dari barat dan turun di timur dan menaikkan hujan ke langit serta mengalirkan sungai ke hulu.
Sememangnya Najib perlu berhenti jika UMNO kalah dalam PRU ini. Tetapi tidak semestinya pimpinan diambil alih oleh Muhyiddin kerana saya yakin UMNO tidak akan mampu menubuhkan kerajaan kali ini. Saya mempunyai keyakinan itu. Saya bukan hendak mendahului Tuhan tetapi kecenderungan UMNO akan menjadi pembangkang itu semakin hari semakin jelas. Tetapi kita mesti akur kepada hakikat yang penentu terakhirnya adalah Allah SWT semata-mata.
Mahathir ternyata begitu ‘desperate’ untuk mendapatkan semua yang akan terjadi adalah di atas kehendak beliau. Beliau mahukan semua pihak yang naik dan turun itu berterima kasih kepada beliau di atas kesusahan rakyat dan negara. Bersepah negara dibuatnya dan beliau tidak berhenti di sini sahaja. Itulah sebabnya UMNO itu tidak mungkin boleh menyelamatkan negara jika pemimpin-pemimpinnya boleh di kotak-katikkan oleh orang bernama Mahathir ini.
Justeru rakyat harus meninggalkan UMNO dan tidak lagi terbabit dengan parti dalam mana pemimpin-pemimpinnya hanya bertindak mengikut kehendak dan nafsu nafsi pemimpin mereka sahaja. Rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa permainan politik peribadi pemimpin-pemimpin mereka sahaja. Dari sekarang jika UMNO masih menjadi parti yang memimpin kerajaan begini lah keadaan negara kita sampai bila-bila. Apabila mendapat mandat mereka akan bergaduh sesama sendiri untuk merebut kenikmatan dari kuasa menjadi parti dan pemimpin kepada kerajaan itu.
Mahathir hanya mahu orang lain meletakkan jawatan jika mendapat kekurangan sokongan. Beliau mahu Abdullah Badawi berhenti kerana kehilangan mandat 2/3 di Parlimen dan sekarang beliau mahukan Najib untuk berbuat perkara yang sama jika keadaan dan keputusan pilihanraya tidak bertambah dari pihanraya yang lalu.
Mahathir sepatutnya berfikir apakah beliau sendiri melakukan apa yang beliau suruh orang lain lakukan? Beliau telah ditunjukkan oleh orang ramai melalui pemilihan 1987 dahulu dimana beliau hanya memenangi pertandingan jawatan Presiden dengan hanya 43 undi. Beliau tidak meletakkan jawatan dan mengatakan walaupun menang dengan satu undi beliau tetap menang.
Tetapi sebelum itu, semasa beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 dari Hussein Onn, beliau telah membuat satu janji yang jelas di dengar oleh perwakilan UMNO tahun itu. Dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu dengan meminta rakyat atau UMNO memberikan isyarat kepada beliau jika beliau sudah tidak dikehendaki lagi. “Jika ada tanda-tanda yang UMNO sudah tidak berkehendakan beliau, beliau akan meletakkan jawatan dengan terhormat.  Saya masih teringat kata-kata dan janji beliau itu kerana saya berada di barisan hadapan dalam Dewan Perhimpunan itu (NIRWANA BALLROOM Hilton). Bacalah lapuran perhimpunan agong tahun itu jika masih di simpan oleh Ibu Pejabat UMNO sekarang ini.
Tetapi apabila beliau hanya mendapat kemenangan yang amat tipis dalam pertandingan Presiden itu beliau berkata satu undi pun saya menang. Beliau tidak mengambil contoh bagaimana Hussein Onn bertindak selepas beliau memenangi pertandingan jawatan Presiden UMNO dengan Sulaiman Palestin pada tahun 1978 dahulu. Sulaiman Palestin hanya mendapat 125 undi sahaja sedangkan lebih dari seribu perwakilan yang lain memberikan undi kepada Hussein Onn.
Tetapi Hussein Onn bertindak mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO itu dalam pemilihan parti 1981 kerana hendak mengelakan perpecahan dalam UMNO. Hussein Onn tahu cabaran yang di lakukan oleh Sulaiman Palestin itu adalah dari Timbalannya sendiri yang tidak sabar untuk menunggu giliran untuk naik ke jawatan tertinggi itu.
Semua orang tahu tindakan Sulaiman Palestin menentang Hussein Onn itu adalah di sebabkan oleh tangan ghaib Timbalan beliau sendiri. Dengan perletakan jawatan Hussein Onn itu maka tangan ghaib yang menyebabkan Hussein Onn merajuk itulah yang mengambil alih jawatan beliau (Hussein Onn).
Sekarang dalam masa beliau sudah bersara pun perangai dan sikap itu tidak dapat dibuangnya kerana sifat itu sudah meresap dalam segenap tubuh dan naluri beliau. Sekarang kuis-menguis di antara pemimpin-pemimpin UMNO amat mengembirakan Mahathir. Dengan keadaan ini Mahathir selalunya akan berjaya menyelitkan agenda beliau yang tidak mempunyai sempadan dalam politik negara ini. Itu pun keyakinan beliau sendiri. Tetapi Mahathir tidak akan bernasib baik sentiasa. Ada kalanya tindakan beliau itu akan memakan diri beliau sendiri dan juga UMNO itu keseluruhannya. Samada Mahathir mahu menerima kekalahan UMNO dalam PRU ini bukan lagi menjadi perkara penting bagi rakyat sekarang ini.
Rakyat mahu situasi seperti ini tidak berlaku lagi dan untuk mengelakkan perkara seperti itu berulang-ulang, rakyat wajar mengenepikan parti yang hampir jahannam itu kerana perbuatan pemimpin-pemimpin seperti Dr Mahathir ini.
Bagi Pakatan Rakyat mereka sudah bersedia untuk melakukan perbezaan. PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat sudah pun berpengalaman untuk mentadbir melalui pengalaman di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat itu.
Rupa-rupanya jika pentadbir dan penggubal undang-undang tidak rasuah banyak perkara dapat diatasi dengan baik seperti yang berlaku di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat walaupun begitu banyak sabotaj dilakukan oleh Putrajaya itu.
Jika Putrajaya beralih kuasa maka tidak akan berlaku sabotaj terhadap negeri-negeri yang iginkan kemajuan sebenar itu. Lakukanlah dalam pilihanraya yang akan datang ini.

0 Komen pengunjong :