Skandal RM40 juta Musa Aman: ICAC dijangka panggil Lajim Februari


KUALA LUMPUR 22 Jan: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin yang akan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) bakal membongkar skandal RM40 juta Umno Sabah.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong, kes yang masih berjalan itu sedang diteliti secara terperinci berdasarkan dokumen yang diserahkan kepada badan tersebut semasa kunjungan delegasi KEADILAN pada November tahun lalu.
“Antara saksi yang akan dipanggil adalah Datuk Lajim (gambar). Cuma kini ICAC belum tetapkan tarikhnya lagi. Tapi ia tidak terlalu lama, mungkin Februari ini.
“Seorang lagi saksi turut akan dipanggil ICAC untuk beri keterangan berhubung skandal itu yang kami rahsiakan atas faktor keselamatan,” katanya kepada Keadilan Daily.
William berkata, pihak ICAC juga menghubunginya baru-baru ini meminta dokumen siasatan tambahan.
“ICAC pernah hubungi saya untuk mendapatkan beberapa laporan dan dokumen baharu. Semua maklumat yang diminta sudah saya hantar,” jelas beliau.
Bagaimanapun katanya, maklumat berkaitan dokumen tersebut tidak boleh didedah ekoran permintaan ICAC supaya ia dirahsiakan.
Sementara itu, Lajim ketika dihubungi mengesahkan ICAC telah memanggil beliau untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Katanya tarikh untuknya ke sana setakat ini belum diputuskan ICAC.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum ini membongkar skandal RM40 juta Umno Sabah melibatkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman dan taikun balak, Michael Chia.
Chia ditahan di Lapangan Terbang Hong Kong pada 2008 kerana menyeludup wang tersebut.
Pada November tahun lepas, Rafizi bersama delegasi KEADILAN termasuk William dua kali ke Hong Kong untuk bertemu ICAC.
Mereka menyerahkan bukti transaksi berhubung kes itu termasuk keseluruhan penyata bank dan urusniaga keluar masuk wang ke dalam akaun bank dua buah syarikat yang dikaitkan dengan Chia (iaitu Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd).
Turut diserahkan, akuan bersumpah oleh Lajim yang menafikan bahawa wang RM40 juta adalah derma politik kepada Umno kerana ia tidak pernah diumum kepada pengurusan Umno Pusat atau Umno Sabah, yang dipandang serius oleh ICAC.
“Kita tahu ICAC Hong Kong sedang siasat. Kes ini masih berjalan walaupun ada laporan kata sudah tutup. Mereka (ICAC) tidak beritahu media arus perdana bahawa kes ini dalam siasatan bertujuan melindungi kerahsiaan siasatan.
“Rahsia ini akan terjawab bila sampai masanya. Siapa yang bersalah akan dipertanggungjawab. Kita tunggu hasil siasatan itu,” ujar William yang juga Bendahari Agung KEADILAN.

0 Komen pengunjong :