KUALA
LUMPUR ― Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran
kepada pihak yang menentang perhimpunan agar jangan menimbulkan
provokasi pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan berlangsung
Sabtu ini.
Menurut penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan Azmir Mustapha, beberapa
hari ini aktivis-aktivis SAMM seluruh negara diganggu dengan SMS berbaur
ancaman dan ugutan dari pihak yang mendakwa diri mereka dari Perkasa,
Pekida, Pemuda Umno dan 80 NGO untuk menghalang perhimpunan ini.
“Regim usang ini sedang menghayati zaman-zaman akhir pemerintahan
mereka dengan melakukan provokasi, sabotaj dan menggunakan samseng
upahan untuk menakutkan aktivis pro perubahan.
“Saya memberi amaran kepada pihak ini untuk tidak sama sekali
menyerang kumpulan rakyat yang hadir ke KL112, sekiranya anda menjual,
kami sedia membelinya,” kata Azmir selepas menyerahkan bunga kepada
pihak polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Penyerahan bunga itu diserahkan kepada Sarjan Mejar M. Nazir iaitu
pemangku timbalan ketua balai polis Dang Wangi, sebagai tanda
penghargaan SAMM kepada pihak polis yang menjaga keamanan di negara ini.
SAMM juga mengajak pihak polis untuk bersama-sama datang ke perhimpunan pada Sabtu ini di Stadium Merdeka.
Walau bagaimanapun, pihak polis diwakili Nazir enggan menerima risalah yang cuba diserahkan SAMM kepada pegawai polis.
Semalam, pihak polis menurut penganjur perhimpunan akan mengawal
perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Januari ini dan
akan memastikan ianya aman dan menjadi “peristiwa bersejarah”.
Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua
Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan ini akan
menjadi “peristiwa bersejarah” di mana mereka belajar dari peristiwa
lepas.
Gabungan menuntut perubahan pilihan raya Bersih 2.0 cuba mengadakan
perhimpunan di Stadium Merdeka pada 9 Julai 2011 tetapi dibatalkan oleh
pihak berkuasa pada saat akhir.
Pada perhimpunan ketiga Bersih pada 28 April lalu, kerajaan
menawarkan stadium bersejarah tersebut selepas gabungan tersebut memilih
Dataran Merdeka tetapi tawaran Putrajaya ditolak kerana dikatakan
terlalu lambat.
Perhimpunan 12 Januari ini menyaksikan beberapa kumpulan membuat
tuntutan mereka menjelang pilihan raya 2013, termasuk menutup kilang
nadir bumi Lynas di Kuantan, membayar royalti lebih adil kepada negeri
pengeluar minyak, pendidikan percuma dan pilihan raya bersih dan adil.
0 Komen pengunjong :