PASCA
merdeka Tanah Melayu dilengkapi dengan sistem Raja Berperlembagaan yang
mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen. Kita tidak lagi perlu
bersusah payah mengangkat senjata atau buluh runcing untuk mempertahan
anak dara kita daripada dirogol askar Jepun atau bertempur menumpah
darah melawan British untuk membebaskan tanah air.
Masa berlalu dengan pantas dan kini kita dapat melihat mercu tanda
Malaysia, KLCC berdiri megah di tengah ibu kota mengalahkan Bangunan
Dayabumi yang pernah menjadi sejarah kebanggaan negara sekitar tahun
70-an lalu.
Bagaimanapun, pembangunan rancak negara ini disulami dengan penularan
melampau gejala rasuah oleh pemimpin UMNO-BN ‘melantak’ duit cukai
rakyat seiring dengan pencabulan berterusan terhadap demokrasi, keadilan
dan kebebasan rakyat.
Akibatnya, rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang
tinggi saban tahun dan ketidakadilan pembahagian sumber hasil negara.
Segala projek, perniagaan utama terus dimonopoli syarikat dan individu
tertentu. Melalui akhbar arus perdana, rakyat dimomokkan dengan sentimen
agama dan kaum yang berpanjangan. Umat Melayu Islam terus ditipu
buta-buta dengan mainan kalimah Allah dan negara Kristian biarpun di
luar daripada logik akal. Sampai bila kita harus begini?
Najib terbeban, dibeban dan membebani
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pelbagai
pendedahan skandal terus tersembul keluar. Beliau adalah simbol beban
negara; terbeban, dibebani dan membebani. BN tidak serius menuntun
negara ke arah yang lebih baik.
Malapetaka buat Malaysia. Semuanya dapat dilihat melalui dakwaan
serius membabitkan pengaliran keluar wang haram secara ‘mega’, kes
pembelian kapal selam Scorpene, pembunuhan Altantuya, kes cincin RM24
juta, kes rasuah 19 bentuk cincin bernilai RM13 juta, pembolotan tanah
oleh kroni dan pimpinan BN, kes jenayah yang makin meningkat, salah guna
kuasa polis, kematian tahanan dalam lokap, isu penerokaan balak haram,
royalti petroleum, penaklukan kilang asing Lynas yang membahayakan,
pengusiran berstrategi penduduk Pengerang dan banyak lagi.
Gejala salah guna kuasa dan rasuah ini melingkupkan segala dasar dan
slogan yang dirangka UMNO-BN sendiri. Sebab itulah, segala projek
membangunkan Malaysia termasuk Dasar Ekonomi Baru, Bersih Cekap Amanah,
Islam Hadhari, 1Malaysia dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) mengalami
kegagalan dan terbantut.
Sebagai rakyat yang mengaku rasional dan bijak, adakah wajar
membiarkan kelahapan dan kebobrokan UMNO-BN ini berterusan? Siapakah
pula yang bakal menanggung rugi jika perkara ini dibiarkan?
Kebangkitan rakyat Timur Tengah: Arab Spring
Apabila daerah Sidi Bouzid memulakan sejarah baru bagi bumi Tunisia,
maka berangkatlah Presidennya Zainal Abidin Ali yang super korup
bermohon suaka ke bawah keluarga Raja Saud di bumi Jeddah.
Dalam senggang waktu pesta demokrasi Tunisia, Mesir pula bergoncang
dengan suara rakyat menuntut keadilan, ketelusan dan demokrasi yang
lebih adil. Akhirnya, Presiden Hosni Mubarak, seorang lagi pemerintah
yang angkuh mohon mengundur diri. Saat ini, Mesir mula mengorak langkah
baru membina negara berpaksikan demokrasi, keamanan dan keadilan untuk
semua rakyatnya.
Kebangkitan dunia Arab yang dinamai
Arab Spring ini terus
melakar sejarah di negara Arab yang lain seperti di Algeria, Syria,
Libya, Yemen, Oman, Bahrain, Lubnan, Maghribi dan beberapa negara lagi
menuntut kedaulatan buat negara dan rakyat.
Rakyat Malaysia, kebangkitan dan demokrasi
Minda rakyat Malaysia yang makin tercerah mewajarkan suara dan
tuntutan mereka didengar pemerintah UMNO-BN. Rakyat tidak lagi dungu,
namun, ibarat anjing menyalak bukit, suara suci rakyat menuntut
perubahan tidak dipedulikan.
Apabila peti undi menjadi sarang manipulasi, apabila suara rakyat
bawahan terbungkam dijerkah penguasa, apabila bumi yang subur diracun
bahan berbahaya, apabila nelayan diusir dari tanah mereka, apabila
peneroka tanah ditipu syarikat kroni, maka seluruh rakyat malaysia yang
mendokong aspirasi keadilan dan demokrasi harus bangkit bersama hadir ke
Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka, pada 12 Januari
ini (Sabtu).
Sudah tentu, kita tidak mahu kebangkitan rakyat ini bakal berakhir
dengan tindakan anarkisme yang bakal menyusahkan semua pihak apalagi
anak kita baru masuk sekolah, graduan universiti baru mula bekerja,
kehangatan tahun baru masih terasa dan Tahun Baru Cina sudah makin
hampir dengan tawaran jualan murah di sana sini.
Lagipun, jauh jarak Dataran Tahrir Mesir ke Stadium Merdeka, Kuala
Lumpur memakan lebih 16,000 kilometer jika melalui jalan darat. Ibarat
langit dan bumi, tentu sekali demografi politik, geografi dan sosial
negara arab jauh bezanya dengan Malaysia.
Kita mahu Himpunan Kebangkitan Rakyat, KL112 ini berlangsung secara
aman dan suara kita diambil pusing oleh pemerintah. Adakah UMNO-BN akan
peduli? atau, merekalah yang bakal membunuh diri sendiri dalam riak
gelombang rakyat menuntut perubahan. Jumpa di Kuala Lumpur, KL112!
–
Roketkini.com
0 Komen pengunjong :