PILIHAN raya sudah terlalu
hampir. Kehangatan nafasnya sudah boleh dirasa di balik tengkuk. Najib
Razak sudah tidak punya banyak pilihan. Badan legislatif Negeri Sembilan
bakal terbubar secara automatik pada 28 Mac nanti. Mustahil Najib Razak
mahu negeri yang hampir ditawan Pakatan Rakyat pada PRU-12 melalui
pilihan raya sendirian.
Najib mesti bubar Parlimen sekitar tarikh itu juga. Tidak kiralah apa
pun yang terjadi atau apa pun tilikan ahli nujum Putrajaya; Najib Razak
sudah tidak punya banyak alasan.
Namun apalah sangat yang kita nantikan untuk mula berkempen. Barisan
Nasional (BN) pimpinan United Malays National Organisation hari demi
hari berkempen di kaca televisyen dan surat khabar. Kalau itu tidak
dipanggil kempen, takkan nak dipanggil iklan cucur pisang?
Untungnya Pakatan Rakyat ini bukanlah sangat kerana ia mencuba untuk
menjadi koalisi politik yang tulus dan telus berkhidmat untuk rakyat;
tetapi untungnya Pakatan ini ialah kerana lawannya tidaklah begitu
cerdik. Tak adil untuk kita merasakan bahawa kita ini bagus sangat.
Cuma UMNO ini yang amat tidak bagus. Mungkin ada orang UMNO yang
bagus tapi rata-rata pemimpin dan kroni kapitalis mereka memang sah tak
bagus. Kegagalan terbaru bagi kolektif parti etnosentrik ini pastilah
dapat dilihat dalam kempen ucapan tahun barunya yang kini memperlihatkan
betapa sakit dan nazaknya BN ini.
Memerangi zombie
BN harus pertamanya difahami sebagai parti politik yang jahat. Kenapa
jahat? Kerana ia sudah puluhan tahun berkuasa dan mahu terus berkuasa
serta sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kuasanya. Antara lain
termasuk menyenaraikan hantu di dalam senarai daftar pemilih.
Isu pengundi hantu ini kalau dibukukan setiap satunya, barangkali
boleh dibuat antologi cerita hantu yang boleh dijual. Mujur tuan punya
hantu juga tidak begitu cerdik dan bertindak menghantar kad ucapan
kepada hantunya. Mudah bagi pihak lawan mencari dan memerangi hantu
terbabit.
Barangkali tidak sabar-sabar lagi mahu berinteraksi dengan pengundi,
BN telah mula menghantar kad ucapan kepada pengundi di Selangor. Setakat
ini belum ada lagi kad yang dihantar kepada negeri lain.
Pendedahan
kewujudan ‘zombie Bukit Gasing’ minggu lalu pastinya membuka mata ramai
orang. Mana mungkin dalam satu rumah yang tak pernah disewakan atau
dihuni orang lain boleh berdaftar sampai puluhan manusia yang tidak
dikenali tuan rumah. Di mana mereka sembunyi? Bawah katil? Dalam almari
kasut? Mana?
Maka zombie-zombie yang muncul ini mesti diperangi menjelang PRU-13
yang sudah semakin hampir itu. Kenali zombie-zombie ini. Kalau nampak
mukanya itu tak semacam warganegara, tahan dia dan suruh dia menyanyi
lagu Negaraku. Masanya sudah tiba untuk zombie dan hantu ini semua
diperangi habis-habisan.
Lapan minggu sahaja lagi sebelum DUN Negeri Sembilan terbubar secara
otomatis. Anda sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, adakah anda sudah
bersedia?
– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :