KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia dinasihatkan supaya ‘gulung tikar’ atau tutup sahaja operasinya kerana sering kalah dalam kes saman.
Demikian saranan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.
Justeru, beliau merasa simpati kepada Utusan Malaysia kerana kerap
kalah di mahkamah dan terbaru adalah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas akhbar tersebut di atas
kesalahan memfitnah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
satu laporan di akhbar tersebut awal tahun lalu.
Katanya, dengan siri kekalahan Utusan Malaysia di mahkamah, apalah
malang bagi rakyat Malaysia memiliki akhbar nasional yang rendah mutunya
sehingga boleh dibakulsampahkan.
“Hampir setiap kes yang dibawa di mahkamah, akhbar ini kalah dan terpaksa membayar gantirugi.
“Selepas ini berapa banyak lagi kes akan dibawa ke mahkamah dan
berapa banyak lagi kes Utusan akan kalah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, beliau sendiri merasa malu untuk menatap dan membaca akhbar tersebut.
“Saya merasa malu akhbar ini dijadikan akhbar rasmi di mana-mana
perpustakaan, dihidang disekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan,
dijual di kedai-kedai buku ternama, malah dijual di kedai kaki lima,
seolah-olah apa yang dibaca dan ditatap oleh rakyat adalah akhbar
pembawa berita palsu dan penyebar fitnah tersohor di negara ini,”
ujarnya yang juga seorang peguam.
Menurutnya, reputasi Utusan di mata rakyat kini sudah jatuh merudum.
“Apakah ada berita yang ada dalam akhbar itu boleh dipercayai lagi?” tanya beliau,
Kerana itulah, ujarnya ada rakyat yang nakal membaca akhbar Utusan
secara terbalik, sama ada benar-benar terbalik atau memahami maksud
Utusan dari sudut yang terbalik.
Jika benar kata akhbar tersebut, kata beliau maknanya berbohonglah ia, jika bohong kata Utusan maka benarlah berita itu.
Sepatutnya, tambah beliau lagi keputusan mahkamah itu menjadi suatu
pengajaran paling berharga buat Utusan atau mana-mana akhbar, termasuk
media televisyen dan radio.
Beliau berkata, budaya fitnah, menokok tambah cerita, mengadu domba,
dan melaga-lagakan pemimpin adalah budaya liar yang ditolak oleh
masyarakat negara ini.
Katanya, rakyat tidak menerima sama sekali budaya pemberitaan yang dibohongi bagi menyenangkan pihak tertentu.
“Saya nasihatkan Utusan supaya ‘gulung tikar’ atau tutup sahaja
akhbar tersebut daripada menanggung malu di samping kos yang banyak
untuk membayar saman di mahkamah, lebih baik Lembaga Pengarah Urusan
Utusan berbincang untuk menjalankan perniagaan lain yang lebih
menguntungkan.
“Lebih baik menjadi sebuah majalah dakwah alternatif untuk
kepentingan umat Islam di negara ini, setidak-tidaknya ada juga manfaat
dan pahalanya kepada umat Islam,” ujarnya.
0 Komen pengunjong :