SHAH ALAM : Analisa dari segelintir “pakar ekonomi” yang
ekonomi negara akan merudum sekiranya Kerajaan Umno-BN tumbang dalam
pilihanraya akan datang tidak mengambil kira kelemahan pengurusan
kewangan Kerajaan Pusat.
Persepsi mereka tidak mengambil kira rasuah, ketirisan dan sikap
meninggikan hutang negara oleh Kerajaan Umno-BN, serta dasar penswastaan
yang merugikan rakyat dan menguntungkan syarikat kroni, kata Menteri
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Analisa mereka juga tidak mengambil kira kejayaan Pakatan Rakyat (PR)
dalam mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang di mana ia
mengurangkan ketirisan, meningkatkan rizab negeri serta meningkatkan
pelaburan.
Juga terdapat tafsiran yang salah bahawa pertukaran pentadbiran akan
mendatangkan kepincangan kerana negara-negara seperti Thailand dan
Indonesia terus mengalami kadar pertumbuhan yang memberangsangkan
walaupun telah tukar kerajaan.
Abdul Khalid berkata, kepercayaan bahawa perubahan politik akan
membawa kesan negatif terhadap ekonomi adalah hasil daripada politik
ketakutan yang cuba disemai kerajaan Umno-BN sekarang.
Dilaporkan sebelum ini bahawa, syarikat analisa antarabangsa seperti
JP Morgan mengeluarkan laporan yang mengatakan prestasi ekonomi Malaysia
hanya akan baik sekiranya Umno-BN terus menguasai Kerajaan Pusat.
“Kedudukan ekonomi Malaysia semakin merudum dan penunjuk paling
ketara adalah hutang negara yang semakin besar dan Kerajaan Pusat terus
meminjam berbilion ringgit yang akan dipikul generasi akan datang.
“Dalam jangka masa panjang, prestasi ekonomi Malaysia hanya boleh
dijamin dengan adanya Kerajaan Pusat yang bebas daripada amalan rasuah,
kronisme dan kegagalan pengurusan yang diamalkan Kerajaan Umno-BN,”
katanya dalam satu sidang media.
Abdul Khalid menggesa JP Morgan serta syarikat antarabangsa lain
berhati-hati dan memastikan analisa tidak berat sebelah serta
menghormati hak demokratik rakyat untuk memilih kerajaan.
“Sebagai contoh, walaupun melalui proses perubahan politik yang cukup
ketara namun Thailand dan Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi 4.2
peratus dan 6.4 peratus.
“Ini membuktikan penukaran kerajaan tidak semestinya membawa kesan
ekonomi yang buruk sebaliknya ada kalanya penukaran kerajaan amat
diperlukan untuk merealisasikan reformasi dan pembaikan ekonomi yang
menyeluruh,” jelasnya.
0 Komen pengunjong :