KOTA BHARU - Di sebalik ajakan berterusan pemimpin Umno untuk
berdamai, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa
perpecahan Melayu kini disebabkan Umno yang tidak mengamalkan dasar
Islam dalam perjuangannya.
Menteri Besar berkata, oleh kerana tindakan Umno yang enggan mengubah
dasar itu menyebabkan Pas yang ditubuhkan oleh ahli Umno sendiri satu
ketika dulu sukar untuk mendekati parti itu kembali.
“Saya lama dah sebut benda ni, tapi orang kata ini gimik politik... dia tak faham.
"Saya kata Melayu berpecah ni bukan kerana Pas, tetapi kerana Umno
yang ada hari ini tolak pandangan Biro Ulama Umno sendiri, Pas yang ada
hari ini bukan orang Pas buat, sebaliknya Biro Ulama Umno yang buat.
"Tapi Umno induk tolak... tolak Islam, kami orang Pas ni membajai
dia, siram dia, pagar dia supaya tidak diganggu,” katanya kepada Sinar
Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-14 Pertubuhan Kerabat Raja
Jembal Kelantan (PKRJK) itu di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Hashim Jasin yang menegaskan Pas
bersedia dibubarkan dan semua ahlinya menyertai Umno jika parti itu
melaksanakan hukum Islam.
Hashim menjelaskan, Nik Aziz pernah menyebut jika Umno melaksanakan
hukum Islam pada jam 12 tengah malam, Pas akan dibubarkan pada jam 12.05
tengah malam.
Hashim mengeluarkan kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Adun
Tambun Tualang, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ingin tahu sama ada
beliau akan menyertai Umno jika gagal dalam pilihan raya umum akan
datang kerana doa Pas agar ‘Umno KO’ tidak dimakbulkan.
Dalam pada itu, Nik Aziz berkata , perpecahan di kalangan masyarakat
termasuk orang Melayu tidak akan berlaku sekiranya Umno mengambil Islam
sebagai perjuangan mereka.
“Kalau Umno sendiri buang kebangsaan, kita tak akan bergaduh, Melayu
pecah dua sekarang ini kerana tak terima Islam... bersatu... bersatu
atas apa, perompak pun bersatu juga puak-puak dia, perompak ada geng
dia, penyamun ada geng dia, orang politik ada geng dia, cuma yang itu
orang panggil geng, yang ini orang panggil parti, benda sama sahaja,”
katanya.
0 Komen pengunjong :