Tidak siapa tahu apakah muslihat dan
strateginya menyebabkan Najib Razak memperlambat-lambatkan pilihan raya
diadakan. Tidak siapa yang tahu apakah sebab musabab dan hambatan
sebenar maka ia melanjutkan pilihan raya kemungkinan akan rapat ke
dinding, maksudnya sehingga habis tempoh lima tahun.
Parlimen
akan terbubar secara automatik 28 April 2013 kerana tempohnya sudah
mencukupi. Belum pernah berlaku parlimen dibubarkan sehingga rapat ke
dinding. Paling lama pun parlimen akan dibubarkan sebaik saja masuk
tahun keempat penggal parlimen ia dibubar. Jadi apabila Najib gagal
mencari 'cerlak' dan ketika baik untuk membubarkan parlimen menyebabkan
orang tertanya-tanya dan menjadi iseng sendiri dan berbahas apa sudah
jadi dengan Najib?
Bahkan ada yang sudah naik bingung dan muak
menanti bila tarikh parlimen dibubarkan. Beberapa jangkaan dibuat
semuanya meleset. Najib semacam mahu melarikan tarikh itu dan tidak mahu
mengiyakan apa yang diagakkan oleh orang lain. Untuk apakah? Namun
kali ini teka teki itu tidak timbul lagi, semuanya sudah siap sedia.
Bahawa pilihan raya tidak mungkin diadakan selepas April 2013.
Kelewatan Najib membubarkan parlimen memburukkan keadaan dirinya dan
UBN. Kelewatan itu menyebabkan timbul persepsi buruk kepada parti
berkenaan. Tanyalah sesiapa pun mereka akan mengatakan Najib atau UBN
takut bila mana masih bermain-main dengan tarikh pilihan raya. Apa lagi
perkara ini ditejel dan dijaja oleh Pakatan Rakyat, kononnya UBN takut,
dakyah itu sudah tersendak di kepala orang ramai.
Rakyat
menerima eceran berkenaan. Memanglah kalau Najib berani dan yakin dengan
kemenangan UBN dia tidak perlu menangguhkan pembubaran parlimen.
Beliau tidak mengheretnya sehingga rapat ke mentara. Sebabnya tidak ada
alasan lain bagi Najib untuk tidak mengadakan pilihan raya segera
kecuali kerana takut dan bimbang. Kebimbangan itulah menjadikan tarikh
pembubaran parlimen menjadi teka teki tidak terjawab.
Waktu
paling elok bagi Najib meminta Yang di-Pertuan Agong bubarkan parlimen
ialah pada bulan Jun lalu. Ketika itulah keadaan kondusif buat UBN.
Isu-isu yang tegang di dalam kerajaan pada masa itu seperti skandal
projek lembu gemuk (NFC) dan isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA)
juga sudah selesai. Walaupun isu NFC masih terheret sampai kini tetapi
apabila tindakan diambil ke atas syarikat atau individu yang terlibat
termasuk perletakan jawatan Shahrizat Jalil, ia dianggap ia diambil
tindakan.
Rakyat sudah sedikit berpuas hati atas sikap akauntabiliti Shahrizat itu.
Begitu juga isu SPBA yang sebelum ini menimbulkan kemarahan kakitangan
awam atau pegawai kerajaan, selesai apabila sistem saraan baru itu
dibatalkan dan orang yang kononnya bertanggungjawab bekas ketua pengarah
JPA Abu Bakar Abdullah diambil tindakan. Keredaan isu itu bukan kerana
tindakan ke atas ketua pengarah JPA itu tetapi pembatakan sistem
berkenaan dikira 'congik cakdung' dan tidak adil kepada semua.
Seretak itu juga penyenaraian saham FVGB telah dilakukan dan para
peneroka telah mendapat sedikit nikmat. Di mana nikmat habuan pemberian
separuh dari RM15,000 untuk satu keluarga memberi keseronokan kepada
para peneroka. Demikian juga dengan sebahagian rakyat turut sama terasa
terhibur dengan pemberian BR1M, RM500 satu orang yang berpendapatan di
bawah RM2,000. Walaupun pemberian wang umpan dan rasuah undi itu tidak
menyeluruh, setidak-tidaknya 15% daripada penerimaannya merasakan
mereka dipedulikan oleh UBN.
Namun kondisi itu tidak diambil
peluang juga oleh Najib. Inilah menyebabkan timbul 'perselehengan' dan
'perkadasan' fikiran di antara Najib dengan timbalannya Muhyiddin
Yassin dan juga bomoh besar dan keramat Umno Mahathir Mohamad.
Muhyiddin satu masa mendesak agar pilihan raya diadakan segera
memandangkan rakyat sudah sedikit tenang. Desakan Muhyiddin itu
sehingga ditafsirkan di antara mereka berdua sedang dilambung masalah.
Tetapi Najib tetap juga tidak terbuka hati untuk mengadakan pilihan
raya. Selepas itu 'cerlak' bulan Jun dihinsut ke bulan September.
Tetapi ternyata bulan September juga tidak menjelma apa diharapkan.
Bahkan September merupakan bulan sakit buat UBN. Keengganan Najib itu
menyebabkan timbul rasa kurang senang di kalangan Umno sendiri
terutamanya mereka yang sudah terasak dan letih dengan kemaraan Pakatan
Rakyat. Kemaraan Pakatan Rakyat menjadi mereka resah dan runsing...
kerana semangat PR relatif meninggi.
Orang menyoal kenapa
Najib babil untuk membubarkan parlimen tanpa menjawab persoalan itu?
Bagi saya Najib ada pedoman dan pemikirannya sendiri. Dia ahli Pak
Belalangnya sendiri. Di sini mungkin Najib belum mendapat lampu hijau
atau pun kebenaran dari orang yang dipercayainya. Siapakah orang itu?
Mungkin ianya pemelihara jin, di mana selagi jin tidak bersedia untuk
membantu UBN, isyarat itu tidak akan diberikan.
Sudah pastilah
orang itu ahli yang bijak dalam membuat telahan politik dan
memperhitungkan kalah dan menang untuk Najib. Ini bererti selagi orang
itu tidak merasakan Najib menang dia tidak akan memberi signal
untuk Najib membubarkan parlimen. Kerana Najib meletakkan kepercayaan
tinggi kepada orang itu maka beliau tidak mempedulikan berbagai laporan
dan analisa termasuk kajian dalaman dibuat oleh parti atau badan bebas
sebelum ini yang menyatakan peluang BN baik. Buktinya kalau dia
percaya dia sudah pun membubarkan parlimen.
Perhimpunan agung
Umno yang ke-66 lalu dilihat sebagai kayu ukur terakhir buat Najib
untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Perhimpunan itu juga dijadikan
pemupukan semangat para ahlinya. Malang sekali lagi, menjelang
perhimpunan agung timbul pula beberapa isu baru yang di luar dugaan dan
ianya mencabar dan mengganggu UBN. Isu-isu baru yang meletup secara
bom jangkaan itu benar-benar merusut fikiran Najib.
Isu
dimaksudkan itu ialah pendedahan oleh bekas IGP Musa Hassan mengenai
penyalahgunaan kuasa oleh menteri dalam negeri yang mencampuri urusan
politik di raja. Satu lagi ialah pendedahan mengenai tindakan orang Umno
melakukan cas keting atau penipuan dalam urusan niaga dan tidak amanah
dalam perniagaan. Ini berhubung pendedahan orang bernama Deepak
Jaikishan mengenai keterdayaannya oleh pemimpin Umno.
Pendedahan Deepak itu mengenai kenyataannya (SD) kononnya Najib atau
isterinya terlibat dengan pembunuhan Altantuya benar-benar mendatangkan
masalah kepada Najib dan Umno. Pendedahan Deepka itu mengganggu tidur
dan mimpi Najib. Pendedahan itu boleh mencairkan segala usaha kerajaan
untuk mempengaruhi rakyat sebelum ini. Tragedi yang sudah redha dan
habis tersapu di kepala rakyat itu kini 'terbahar', membuka semula
apabila ia diungkitkan oleh Deepak secara kronologi.
Memang
Umno bercadang untuk menjadikan perhimpunan agung Umno sebagai landasan
kekuatan sepenuhnya kepada UBN. Namun dengan pendedahan itu menyebabkan
harapan yang diimpikan Najib itu hancur berkecai. Najib benar-benar
kecewa dengan apa yang berlaku itu. Ini terbukti bila mana diarahkan
supaya pimpinan Umno tidak menjawab isu-isu berkenaan pada siri
penggulungan. Pembisuan terhadap semua isu dibangkitkan itu sekali lagi
meletakkan UBN dalam keadaan meragukan.
Bagaimana pun Najib
tetap mahu perhimpunan agung Umno lalu dilihat sebagai satu rumusan
bahawa ahli Umno sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya.
Kajian-kajian dalaman juga menunjukkan ahli Umno dalam bersemangat penuh
dan tinggi untuk berdepan dengan pilihan raya. Angka-angka yang aneh
dan ganjil dikeluarkan untuk tujuan itu kononnya 74.4% dari lebih 27,000
respondan menyatakan kerajaan BN dan slongan 1Malaysia dalam
keadaan diterima umum. Orang Melayu juga didakwa semakin teguh bersama
Umno manakala orang bukan Melayu pula dikatakan bertambah menyokong
UBN.
Pendeknya semua logistik untuk berhadapan dengan pilihan
raya sudah pun lengkap dan siap sedia. Seluruh pemimpin dan ahli Umno
juga sudah berjanji dan berikar akan memenangkan parti dan mengelakkan
bertempur sesama sendiri. Ahli perwakilan semua berdiri menyatakan
kesediaan dan komitmen itu. Umno sendiri melakukan apa saja ikhtiar
zahiriah untuk memangkan Umno; berdoa, menyanyi, bersumpah, merayu dan
menangis. Asakan mitosime dan kurafatisme bahawa hanya Umno saja dapat menyelamatkan Melayu dan agama sudah pun diselam sedalam-dalamnya dalam hati para pemimpin Umno.
Mengukur kesediaan itu seolah-olah pilihan raya akan diadakan pada
bila-bila masa saja. Parlimen persis akan dibubarkan sebaik berakhir
perhimpunan agung Umno. Melihat semangat berkobar-kobar itu saya sendiri
mengirakan Najib mengumumkan hari dan masa dia menghadap Agong untuk
menasihati parlimen dibubarkan. Namun itu hanya harapan saja, ia tidak
berlaku. Pun begitu tidak dapat dielakkan lagi, masa sudah suntuk waktu
sudah tiada, suka tidak suka, perit atau tidak.. parlimen akan
dibubarkan dalam masa terdekat. Saya memfirasatkan ianya akan dibubarkan
pada akhir Disember ini atau habis lewat pertengahan Januari
pengundian pada Januari atau awal Februari.
Najib dan Umno
akan membuat persiapan, tempoh itu ialah tempoh matangnya beberapa
janji pemberian untuk rakyat seperti bonus, tambahan BR1M sebanyak
RM500 lagi. Semua itu adalah umpan dan modal untuk memancing undi.
Sambil menghulurkan wang bantuan itu penerima akan diminta bertaubat
mengundi UBN.
Bagaimana pun dalam kesiapsediaan Umno dan BN itu
ia tidak memberi apa-apa kejutan atau pun getaran untuk menguatkan UBN
lagi. Kelewatan Najib membubarkan parlimen telah menjadi persepsi umum
bahawa UBN kini di dalam ketakutan dan akan tewas dalam pilihan raya.
Tanggapan umum atas kesilapan UBN mempercepatkan pilihan raya itu
memberi penyakit kepadanya. Ia menyebabkan rakyat terus beranggapan UBN
tidak akan menang pilihan raya. Dari sudut kejiwaan rakyat melihat
ketakutan dan keraguan Najib memilih tarikh untuk diadakan pilihan raya
itu ia sudah menjadi tanda-tanda kekalahan UBN.
Dengan
tanggapan sebegitu yang mempengaruhi emosi, mereka tidak lagi memilih
UBN. Tanpa UBN dan Najib sedari permainannya berteka teki mengenai bila
pilihan raya telah memberi impak buruk kepada UBN. Apa juga kejutan
dan keanehan yang UBN akan lakukan dalam pilihan raya ini tidak bererti
lagi. Ia tidak boleh merombak ikatan nekad sebahagian besar rakyat
yang mahu menukar BN dengan Pakatan Rakyat. Yang jelas dan nyatanya
UBN sudah tertolak dengan sendiri, helah Najib memperlambat-lambatkan
pilihan raya menatijahkan kecelakaan kepadanya.
-/ Mohd Sayuti Omar
0 Komen pengunjong :