Dituduh ‘Pengkhianat’ Kerana Pendedahan Demi Kebaikan Polis Dan Negara


SHAH ALAM : Tan Sri Musa Hassan menegaskan walaupun ada pihak yang melabelkan beliau sebagai ‘pengkhianat’ kerana mendedahkan campurtangan yang berlaku dalam urusan Polis, namun ia adalah untuk kepentingan Polis sendiri.
Bekas Ketua Polis negara itu berkata pendedahan beliau mengenai campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hissammuddin Hussein adalah supaya professionalisme Polis dipelihara sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
Sebelum ini, Musa mendedahkan bahawa semasa pentadbirannya,
Hishammuddin memberikan arahan kepada pegawai polis bawahan tanpa merujuk kepadanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian kali ke-16 yang mengetengahkan topik “Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita”.
Musa merupakan Mantan Ketua Polis Negara yang memegang jawatan itu selama empat tahun sejak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.
Musa berkata tindakan campurtangan politik bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967, yang mengatakan arahan dan kawalan polis adalah di bawah Ketua Polis Negara (KPN) dan bukan di bawah kuasa Menteri.
Di dalam topik yang sama, beliau berkata, politik samseng dapat diatasi sekiranya Polis bersikap adil terhadap semua parti politik.
“Polis ini tidak boleh bersikap tidak adil. Jika sudah ada aduan dibuat samada oleh pihak Pakatan Rakyat atau Kerajaan maka kena buat siasatan.
“Apabila sudah nampak satu pihak menceroboh masuk maka di situ pihak Polis kena bertindak,” katanya yang merujuk kepada pergaduhan di ceramah PKR di Gombak pada malam Dis 4 yang menyebabkan dua penyokong PR tercedera.
Pergaduhan itu dipercayai dicetuskan oleh penyokong Umno Bahagian Gombak.
“Jika ada diadakan ceramah berlaku di sesuatu kawasan, maka Polis jangan benarkan diadakan ceramah oleh satu pihak di kawasan yang sama.
“Ia akan melagakan kedua belah pihak,” katanya.
Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin.
Wacana ini turut menampilkan moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.

0 Komen pengunjong :