KUALA LUMPUR- Jika benar Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu
mereformasikan Umno dan kerajaan pimpinannya, beliau perlu berani
mengambil tanggungjawab dan mengambil langkah serupa dengan Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil yang melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Hanya dengan cara ini beliau dapat membersihkan dirinya dan mengelak
lebih banyak tuduhan dilemparkan ke atas dirinya,” ujar Ketua
Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu
kenyataan.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Saya mengalu-alukan langkah Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis
Negara secara berani berusaha membetulkan kebejatan kepimpinan negara
yang dianggap telah semakin rosak.
Tan Sri Musa Hassan wajar dipuji kerana berusaha gigih meskipun
mungkin berdepan dengan jalan sulit oleh mereka yang terdesak untuk
mengekalkan kuasa mereka.
Jika Tan Sri Musa Hassan sendiri sanggup mendedahkan penyelewengan
yang berlaku di zamannya oleh pemimpin politik terhadap pegawai
kerajaan, ini bererti ianya ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku
dalam jabatan kerajaan.
Pengakuan beliau bahawa jika beliau tidak mengeluarkan dakwaan seperti ini, negara akan menjadi semakin rosak ada kebenarannya.
Bayangkan jika individu berprofil tinggi seperti Tan Sri Musa tidak
berani ke depan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku dan
membiarkan sahaja keadaan itu berlaku, dikhuatiri menteri berkenaan atau
mungkin lebih ramai menteri lain terlibat jauh dalam campurtangan
terhadap jabatan kerajaan.
Peranan Tan Sri Musa amat besar kerana beliau mewakili segelintir
pegawai kerajaan yang mengadu penyelewengan menteri dalam urusan
pentadbiran kerajaan.
Mungkin ramai lagi pemimpin kerajaan di peringkat bawahan yang
menghadapi masalah yang sama dengan Tan Sri Musa namun tidak berani
tampil kerana takut berdepan dengan pelbagai risiko.
Sebaiknya kerajaan membiarkan Tan Sri Musa Hassan mendedahkan lebih
banyak kepincangan jika benar kerajaan bersikap jujur, profesional dan
telus dalam menjalankan pentadbiran negara.
Dalam hal ini, Perdana Menteri perlu mengambil sikap berkecuali dan
tegas dengan memastikan menteri di bawahnya benar-benar tidak terlibat
dengan pelbagai skandal yang memalukan.
Antara langkah paling tegas adalah memastikan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein melepaskan jawatan atau bercuti bagi memberi laluan siasatan
dibuat ke atasnya.
Jika benar Datuk Seri Hishammuddin mahu mereformasikan Umno dan
kerajaan pimpinannya, beliau perlu berani mengambil tanggungjawab dan
mengambil langkah serupa dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang
melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat.
Hanya dengan cara ini beliau dapat membersihkan dirinya dan mengelak lebih banyak tuduhan dilemparkan ke atas dirinya.
Menghadapi senario PRU ke 13 yang bakal menjelang, beliau perlu
berfikir panjang menghadapi dua persimpangan, melepas jawatan untuk
menjaga imej Perdana Menteri dan Umno yang disayanginya atau teruskan
jawatan dan rebah bersama-sama Perdana Menteri dan Umno.
0 Komen pengunjong :