SHAH ALAM - Tidak ada satu pun matlamat atau dasar perjuangan Pas
terkeluar dari landasannya, bahkan parti Islam itu sentisa komited dalam
memastikan kerjasama parti itu dengan PKR dan DAP membuahkan hasil pada
pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, persepsi yang
dilemparkan oleh segelintir ahlinya yang tidak berjawatan dalam parti,
adalah satu "pembohongan."
"Bagi kami Pas tetap atas landasannya, Perlembagaannya tidak berubah,
dasar Pas tetap Islam sepertimana dalam Perlembagaan, soal matlamat
perjuangan Pas tetap termaktub dalam Perlembagaannya dan hukum-hukum
yang tertinggi juga tetap sama. Tak ada perubahan.
"Masalah mereka ini ialah mereka tidak mahu memahami atau sengaja tak
mahu faham beza di antara dasar dan strategi atau taktik," katanya
ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Sabtu lalu, beberapa ahli Pas Selangor telah menganjurkan satu forum
bertajuk Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal di Kuala Lumpur.
Program tersebut menampilkan dua sesi perbincangan.
Sesi pertama bertajuk Mengimbau Nostalgia Kegemilangan Pas dibarisi
bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Muslim Osman dan bekas Setiausaha Pas
Selangor, Norman Toha serta moderator Pakar runding Akademi Aidit,
Datuk Aidit Ghazali.
Sementara itu, untuk sesi kedua pula bertajuk Merealisasikan Saranan
Mengembalikan Pas ke Landasan Asal dibarisi Pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa, Prof Madya Dr Yusof Muhammad dan pengamal media, Mohd Reza
Kamaruddin.
Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr Shamsuddin Moner bertindak sebagai moderator.
Wacana berkenaan kemudiannya menggariskan 11 resolusi yang antaranya menggesa kepimpinan ulama menerajui Pas semua.
Parti itu juga tidak seharusnya terlalu menyanjung pimpinan DAP dan PKR dalam masa yang sama menghina pimpinan sesama Islam.
Pas juga katanya, mesti segera mengkaji hubungannya dengan PKR dan DAP
dan sekiranya perlu mengadakan Muktamar Khas memandangkan pimpinan
parti-parti tersebut telah menggelincirkan halatuju Pas untuk menegakkan
Islam dan melaksnakan hudud.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor
berkata, tahaluf siyasi atau kerjasama Pas dengan PRK dan DAP tidak
pernah menjadikan parti itu mengikut telunjuk dua lagi parti komponen
Pakatan Rakyat itu.
"Apabila seseorang ingin mencapai sesuatu matlamat, ia kena
mengambilkira realiti politik dan menyusun langkah mengikut realiti
politik itu untuk mencapai matlamat yang termaktub di dalam
Perlembagaannya.
"Bagi saya yang hadir dalam wacana itu, satu (seorang) pun bukan ulama.
Untuk dia keluarkan fatwa bahawa kita sudah terkeluar daripada dasar
kita sama ada dari sudut matlamat kita atau dari sudut kaedah dan
strateginya, dia juga tidak mengemukakan sebarang dalil atau nas," jelas
Khalid.
Tegasnya, umum harus faham dan tidak dimomok-momokkan oleh Umno-Barisan
Nasional yang sering kali memberikan persepsi yang salah berhubung
kerjasama parti Islam itu dengan PKR dan DAP apabila mengatakan parti
itu sanggup menggadaikan prinsip Islam demi cita-cita ke Putrajaya.
"Apa yang kita lakukan tidak ada walaupun satu kita berkompromi
daripada matlamat mahupun dasar kita. Kita kena faham bahawa soal
kerjasama ini atas hal-hal yang kita setuju. Dalam hal yang kita tidak
setuju, kita dibenarkan untuk terus mengusahakannya sendiri.
"Bukan kalau kamu hendak masuk Pakatan Rakyat, kamu kena gugurkan
agenda Islamnya. Tak ada! Tetapi Pakatan Rakyat hanya akan laksanakan
apa yang dipersetujui bersama tetapi apa yang tidak dipersetujui Pakatan
Rakyat, Pas berhak dan bebas untuk mengusahakan atas platform Pas itu
sendiri," katanya.
"Isu hudud ini kalau tidak kerana Pas, memang daripada awal tak ada
orang bincang. Sistem perundangan Islam, sistem pemerintahan Islam, yang
bawa ini semua Pas," tambahnya.
0 Komen pengunjong :