SHAH ALAM : Datuk Chua Jui Ming mengesa Datuk Seri Dr Chua
Soi Lek memohon maaf kepada umat Islam kerana mengeluarkan kenyataan
menghina Islam di dalam blog video dan Facebook.
Sebelum ini,Soi Lek yang juga Presiden MCA mendakwa seramai 1.2 juta
rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan sekiranya PAS melaksanakan
hudud di Malaysia.
Soi Lek yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali,
menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan
pekerjaan sekiranya hudud dilaksanakan.
Jui Ming yang juga Naib Presiden PKR menambah Presiden MCA itu
sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Soi Lek
sendiri tidak memahaminya.
“Dia dan pemimpin MCA sekarang semakin lebih keras ‘menyerang’
agama(Islam) dan saya pada hari ini menuntut beliau memohon maaf kepada
umat Islam di Malaysia,” kata Jui Ming ketika dihubungi TVSelangor.
Tindakan ini ujarnya, disebabkan kegagalan pemimpin Umno memberikan
penjelasan kepada Soi Lek sehinggakan sanggup mengeluarkan kenyataan
tidak berasas berkenaan pelaksanaan hukum hudud.
“Pemimpin Umno kini semakin lemah dalam medan politik, Umno kini
sudah tidak mampu memperjuangkan sesiapapun sehingga untuk partinya
sendiri.
“Dalam keadaan ini, MCA sudah naik kepala terhadap Umno dan tidak
peduli sekarang, keadaan Umno akan semakin lemah di masa akan datang
dengan MCA berterusan menyerang Islam,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini tiada seorangpun kalangan pemimpin Umno yang
berani menegur sikap Soi Lek yang secara terang-terangan banyak kali
memperlekeh agama Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
“Umno sudah tidak ada pendirian sendiri untuk berhadapan dengan MCA dan membiarkan MCA menyerang agama Islam,” katanya.
0 Komen pengunjong :