Pada 2001, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan
Malaysiakini sebagai "pengkhianat" negara.
Waktu
itu portal berita ini dituduh mengambil dana hartawan George Soros,
spekulator yang dituduh dalang perosak ekonomi Asia susulan "kesan tom
yam" keruntuhan mata wang bath.
Lima tahun kemudian, mantan
perdana menteri tidak semena-mena menerima penjelasan Soros bahawa
beliau tidak terlibat meranapkan ekonomi negara dalam krisis 1997
selepas satu pertemuan di Kuala Lumpur.
Padahal Soros dan Mahathir pernah menjalin permusuhan senyap sejak awal 1990-an.
Dalam tempoh berbaik-baik dengan Soros itu, Dr Mahathir memberikan wawancara kepada
Malaysiakini, media dalam talian yang didakwa "pengkhianat" sewaktu di puncak kuasanya.
Mahathir mempergunakan
Malaysiakini -
seperti juga taktiknya berbaik-baik dengan Soros - waktu itu kerana
beliau sedang berperang besar dengan pengganti pilihannya sendiri,
Abdullah Ahmad Badawi, sehingga parti dan media arus perdana
membelakangkannya.
Hanya
Malaysiakini satu-satunya media alternatif yang sepadan dengan media besar arus perdana. Maka, beliau memilih
Malaysiakini, selain pentas-pentas ceramahnya di serata negara.
Tujuan
rasmi (siapa tahu tujuan tidak rasmi pertemuan Soros-Mahathir?)
berbaik-baik itu dilaporkan untuk bersama-sama menentang presiden George
Bush yang mengamalkan dasar perang demi petroleum.
Dana gelap kepada Abramoff
Padahal,
kemunculan awal Bush ini disambut positif oleh Umno dan media arus
perdana atas kejayaannya menewaskan calon Demokrat, Al Gore pada tahun
2000.
Mereka
bergembira atas kenaikan Bush semata-mata dendam mereka pada Gore -
sewaktu itu, 1998, naib presiden Amerika Syarikat - yang pernah
melemparkan percikan sokongan pada Gerakan Reformasi dalam ucapannya di
Kuala Lumpur.
Susulan kemenangan Bush, Dr Mahathir secara
senyap-senyap mengatur pula pertemuan dengan presiden Amerika Syarikat
itu di Rumah Putih pada 2002.
Maka tersebarlah foto kedua-dua pemimpin ini berjabat tangan sambil tersenyum ke serata dunia.
Namun,
kehebatan Dr Mahathir ini terbongkar apabila beliau dituduh menggunakan
AS$1.2 juta (RM4.56 juta) kepada pelobi Jack Abramoff untuk membeli
janji temu dengan Bush.
Dana
yang disalurkan secara gelap kepada Abramoff - bersama taktik gelap
pelobi itu sendiri - menyebabkan Senat Amerika menyiasatnya.
Abramoff
akhirnya mengaku bersalah, dan pada waktu yang sama mendedahkan
tembelang di sebalik makna jabat tangan Mahathir-Bush, empat tahun
sebelum Mahathir-Soros berbaik-baik untuk menentang presiden tersebut.
[Dr Mahathir akhirnya mengakui kewujudan dana ini tetapi menafikan ia dibayar oleh kerajaan Malaysia.]
Bolak balik persabahatan & perseteruan Dr M
Seperti
hubungan mesra Mahathir-Anwar Ibrahim dan Mahathir-Abdullah, semua imej
indah beliau dengan Soros dan Bush berakhir dengan sikap perseteruan.
Abdullah
diangkat sebagai pengganti Anwar sewaktu bekas "anak didiknya" menjadi
musuh nombor satunya. Kemudian Abdullah menjadi musuhnya pula.
Di saat itulah, Mahathir mempergunakan
Malaysiakini dalam
empat wawancaranya, termasuk menjelang pilihan raya umum 2008, untuk menentang Abdullah. Selepas itu beliau
tidak berminat lagi ditemubual akhbar portal ini.
Sikap
sebegini - berbolak-balik dalam persahabatan dan perseteruan - sudah
lama mendarah daging dalam kelicikan politik Mahathir, seperti dilihat
sejak 1980-an.
Musa Hitam, seorang lagi bekas timbalannya,
diangkat menjadi regu kuatnya sewaktu perlunya tokoh Johor itu
dipergunakan untuk menentang kemaraan Tengku Razaleigh Hamzah.
Musa akhirnya tersungkur dan sekali gus tersingkir dengan beban sejarah yang ditanggungnya hingga saat ini.
Jadi tidaklah menghairankan apabila Mahathir menyerang Soros dan sekali gus
Malaysiakini semula dalam artikelnya di
New Sunday Times baru-baru ini.
Padahal akhbar itu pernah juga menjadi kecaman utama beliau dan sekutu-sekutunya sewaktu berperang dengan Abdullah.
Lidah orang politik
Cuma, beliau mungkin terasa sasarannya
(Malaysiakini) terlalu kecil dalam skema analisisnya dan tidak pula sepadan dengan status besarnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.
Lalu,
bagi menampakkan artikelnya itu besar setaraf dengan kenegarawanannya,
maka diolah pula slogan "undi untuk pembangkang bermakna undi untuk
Soros"!
Dalam wawancara terakhirnya di
Malaysiakini,
hanya tiga hari sebelum 8 Mac 2008, Dr Mahathir menyokong penuh barisan
pembangkang - perlunya pembangkang yang menunjukkan sisi-sisi hodoh
wajah politik kerajaan.
Orang kerajaan dan orang parti pemerintah hanya tahu membodek, tambahnya ketika berperang dengan Abdullah dan dengan
New Straits Times empat tahun lalu.
Negara
kita akan jahanam jika pembangkang lembik seperti politik Singapura,
katanya lagi, merujuk negara yang tidak pernah disenanginya itu.
Tanpa sebarang perubahan, barisan pembangkang yang sama - dan "NGO seperti
Malaysiakini" itu juga - kini dianggapnya "ejen Soros" untuk "menukar rejim" BN.
Kita
boleh faham lidah bercabang orang politik; hal itu tidak perlu
dihairankan. Namun kita tidak pernah melihat mata pena bercabang-cabang
seperti digunakan Dr Mahathir di dada akhbar pada Ahad itu.
-/
Malaysiakini
0 Komen pengunjong :