Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha harus ingat bahawa AES
bukanlah soal politik tetapi soal integriti ekonomi dan beliau harus
memberi penjelasan kenapa tiada tender terbuka tetapi tender terpilih
untuk pemasangan 831 kamera 1Malaysia di seluruh Malaysia.
Saya difahamkan bahawa hanya 9 syarikat yang dipilih untuk menyertai tender tetapi 7 sahaja yang mengemukakan tawaran.
DAP tidak mempunyai masalah jika kerajaan Persekutuan terus terang
dengan inisiatif untuk memastikan keselamatan awam dan menggalakkan
pematuhan undang-undang jalan raya.
Namun begitu, kerajaan telah membenarkan 2 pemegang konsesi AES untuk
mengutip komisen berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan.
Jelas ini akan memanfaatkan 2 pemegang konsesi tersebut sementara 28 juta rakyat Malaysia akan rugi.
Ini bermakna bahawa pemegang konsesinya – ATES Sdn Bhd dan Betap Tega
Sdn Bhd – mampu mendapatkan balik modal mereka melalui pengagihan
keuntungan daripada saman yang dibayar melalui tiga peringkat:
Peringkat 1: Untuk 5 juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip (RM80 juta).
Peringkat 2: RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50%, iaitu RM270 juta. Kerajaan mendapat jumlah yang sama.
Peringkat 3: 7.5% akan dikutip daripada keuntungan seterusnya. Kerajaan akan mengutip yang berlebihan.
Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi
akan untung RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah
peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat ketiga – jumlah
lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun.
Selain daripada keuntungan RM700 juta setahun, terdapat juga tanda
tanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi
untuk pemasangan 831 kamera.
Adakah ia bernilai RM600 juta hingga RM800 juta seperti yang didakwa
oleh kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang
bersamaan dengan RM722,000 hingga RM962,000 setiap kamera?
Kegagalan sebegini bukan perkara baru seperti yang dibuktikan dengan
skandal RM365 juta Integrated Transport Information System (ITIS), di
mana sistem pemantauan trafik Kuala Lumpur telah dikenal pasti oleh
Laporan Ketua Audit Negara 2011 sebagai “tidak memuaskan” kerana berlaku
ketirisan.
Walaupun RM365 juta telah dibelanja, tidak ada kebertanggungjawaban yang ditunjukkan.
Kementerian Pengangkutan harus bertanggungjawab penuh kepada pihak
awam atas soalan-soalan mengenai AES dan sama ada tender terbuka telah
dijalankan.
Sekiranya isu-isu ini tidak ditangani, para pemandu Malaysia berhak
marah kerana sekali lagi kroni-kroni BN mendapat manfaat sementara
rakyat rugi.
Pulau Pinang tidak akan membenarkan pemasangan kamera 1Malaysia ini sehingga penjelasan penuh diberi.
Kong harus berpegang kepada arahannya bahawa kerajaan tempatan akan
membuat keputusan tentang pemasangannya, di mana pegawai-pegawai Kong
telah mendapatkan kerjasama dan kelulusan kerajaan negeri dan tempatan
untuk membuat pemasangan.
Saman harus menghukum pesalah trafik supaya mereka akan mematuhi dan
tidak menyalahi undang-undang lagi. Untuk sebab ini, DAP menyeru agar
AES digantung dengan serta merta sehingga kebertanggungjawaban penuh
ditunjuk.
Pemandu-pemandu tidak harus dipaksa untuk membelanjakan kebanyakan daripada gaji mereka hanya untuk membayar saman trafik.
Jangan lupa bahawa RM500 BR1M tidak boleh membantu jika anda mendapat 2 saman yang berjumlah RM600 – anda akan rugi RM100.
Penulis ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.
0 Komen pengunjong :