KUALA LUMPUR, 13 Okt — Tindakan Nasharuddin Mat
Isa memprovokasi hubungan diantara PAS dan DAP sejak akhir-akhir ini
dalam isu Hudud dan negara Islam dipercayai mahu dipecat daripada parti
tersebut kerana tidak berani melanggar “Bai’ah” dengan meninggalkan PAS
secara sukarela.
“Jika kita lihat, semenjak dua menjak ni, Nasha agresif
melaga-lagakan PAS dan DAP supaya Pakatan Rakyat (PR) berpecah," kata
seorang pemimpin tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.
“Beliau lakukan semua ini dengan tujuan agar PAS memecat beliau dan bukannya beliau meninggalkan PAS.
“Meninggalkan PAS bererti melanggar sumpah ‘Bai’ah’ dan ini mungkin
menjadi sebab besar mengapa beliau tidak tinggalkan PAS secara
sukarela.”
“Bai’ah” bermaksud sumpah untuk taat kepada perjuangan Islam yang kebiasaan diamalkan oleh gerakan Islam.
Jika melanggar Bai’ah, dipercayai balasan daripada Allah akan menimpa seseorang itu.
Nasharuddin merupakan bekas timbalan presiden PAS yang gagal
mempertahankan jawatannya selepas tewas ditangan Mohamad Sabu dalam
Muktamar Agung PAS pada tahun 2011 dalam pertarungan tiga penjuru
diantara dirinya, Mohamad dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, apa sahaja yang berlaku kepada
Nasharuddin tidak akan memberikan impak yang besar kepada PAS dari
sokongan.
“Pada saya, apa yang dilakukan oleh Nasha ini lebih kepada
mengukuhkan orang Umno yang sudah Umno,” kata penganalisis politik
daripada Universiti Malaya (UM) itu apabila dihubungi oleh The Malaysian
Insider.
Prof Mohamad juga menambah, jika Nasha meninggalkan PAS dan menyertai
Umno sekalipun, beliau hanya akan mengulangi nasib pemimpin PAS
terdahulu yang menyertai Umno seperti Datuk Mohd Asri Muda (bekas
presiden) dan Nakhaie Ahmad (timbalan presiden).
“Jika Nasha menyertai Umno, beliau tidak akan mendapat kepercayaan
sepenuhnya daripada parti tersebut kerana semua sudah tahu hati dan
sanubarinya bersama PAS,” katanya sambil menjadikan Datuk Dr Hasan Ali
sebagai contoh terkini.
Dr Hasan walaupun telah meninggalkan PAS tidak disambut menyertai
Umno sebaliknya terpaksa menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Jalur
Tiga (Jati) yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan tentang keikhlasan
Nasharuddin dalam memperjuangkan agenda Hudud seperti yang dilakukan
kebelakangan ini.
“Dulu masa nak yakinkan PAS menyertai Umno tubuhkan kerajaan
perpaduan, Ustaz Nasa (Nasharuddin) beritahu PAS, Pak Lah (Tun Abdullah
Ahmad Badawi) nak beri tiga kerusi menteri jika PAS bersetuju bersama
Umno.
“Saya nak tanya dia, masa Pak Lah tawar tiga kerusi menteri tu, ada
tak beliau dibincangkan sekali tentang pelaksanaan hukum Hudud?” kata
beliau melalui perbualan telefon bersama The Malaysian Insider beberapa
hari lalu.
Tambah Husam lagi dengan sinis, jika Umno benar-benar ikhlas mahu
bermuzakarah dengan PAS, Nasharuddin harus diberikan laluan untuk menang
tanpa bertanding di kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya ke 13
nanti.
“Kita nak tengok Umno letak atau tidak calon di Bachok nanti,” katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di parlimen beberapa hari lalu
menegaskan kenyataan-kenyataan Nasha seolah-olah mempunyai agenda
politik tertentu yang menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan cuba
mewujudkan ketegangan dalam PR.
“Kebelakangan ini hubungan beliau (Nasha) dengan PAS tidak serapat berbanding hubungannya dengan kerajaan (Barisan Nasional) BN.
“Kenyataan dikeluarkan jelas bertujuan untuk menguntungkan BN dan
wujudkan ketegangan antara parti PR walaupun dikeluarkan tanpa bukti,”
kata Khalid kepada pemberita di lobi Parlimen.
Kenyataan terbaru dikeluarkan Nasha adalah DAP cuba menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dengan mendakwa parti komponen
PR itu pernah menganjurkan majlis dan berdoa memohon negara dijadikan
sebagai negara Kristian selepas DAP memenangi 12 kerusi di Sarawak tahun
lalu.
Khalid turut menegaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nasha dalam pertemuan dengan Majlis Syura Ulama sebelum ini.
Prof Mohamad bersetuju dengan kenyataan Khalid itu dengan mengatakan
menjelang pilihan raya ke 13 yang semakin hampir ini, strategi Umno
adalah untuk mewujudkan konflik dalam PR.
“Apabila parti dalam PR berlaga sepertimana perselisihan PAS dan DAP dalam isu Hudud, Umno dan BN yang untung.
“PR akan dilihat tidak bersatu jika terus bergaduh sesama sendiri dan inilah yang dimahukan Umno,” katanya lagi.
.
0 Komen pengunjong :