KUALA LUMPUR 27 September: KEADILAN menuntut Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak memberi sepenuh kebebasan hak asasi kepada rakyat.
Ia susulan kenyataan Najib kononnya beliau telah memperkasa hak asasi
di negara ini dalam satu Persidangan Undang-Undang Antarabangsa
Malaysia 2012, semalam.
“Najib berkata kononnya telah memperkasakan hak asasi manusia dan
demokrasi dengan membatalkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dengan
membenarkan kebebasan bersuara serta berhimpun melalui penggubalan
terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Himpunan Aman
2011.
“Padahal, penggubalan itu hanya membenarkan Najib mengekalkan
cengkaman mereka terhadap kebebasan dan demokrasi di Malaysia,” kata
Naib Presidennya, N Surendran dalam kenyataan.
ISA
menerima kritikan dalam pengaplikasiannya terhadap kawalan isu awam
sebelum ini dan diganti dengan Undang-undang Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 yang mengandungi peruntukan lebih keras dan
ia turut dikutuk aktivis hak asasi manusia.
“Lebih serius, Najib sengaja tidak memansuhkan artikel zalim 149
Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang anti-demokratik
seperti ISA dan akta baru itu digubal,” kata Surendran lagi.
Menurutnya, penggubalan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
juga tidak memberi kesan dalam meningkatkan kebebasan media.
“Di bawah akta itu, kerajaan BN boleh batalkan lesen yang diperoleh
media cetak pada bila-bila masa dengan sewenang-wenangnya,” jelas
beliau.
Surendran yang juga peguam hak asasi berkata, kali pertama dalam
sejarah perundangan Malaysia, demonstrasi jalanan dilarang sama sekali
di bawah Akta Himpunan Aman.
“Hak untuk menjalankan demonstrasi jalanan adalah ciri utama
demokrasi yang bekerja di seluruh dunia, malah Myanmar yang berada di
bawah pemerintahan tentera pun membenarkan demonstrasi jalanan.
“Ia tidak masuk akal dan tidak logik untuk Najib mendakwa bahawa dia
telah mencipta satu demokrasi terbuka dan dinamik melalui langkah yang
tidak jujur dan dangkal,” tegasnya.
.
0 Komen pengunjong :