KUALA LUMPUR- Hasil kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi dan
Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) kelmarin tentunya menggusarkan
pemimpin Umno BN, kata Riduan Mohd Nor.
Ketua penerangan dewan pemuda PAS itu berkata, bukan sahaja
disebabkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menurun
malah kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat juga semakin meningkat.
"Kajian ini pastinya menjadikan PM pening kepala memikirkan bila
tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen. Lebih memeningkan apabila
memikirkan nasib beliau, keluarganya dan partinya usai PRU ke 13 nanti.
"Mungkin beliau sedang mengharapkan suatu keajaiban yang boleh
menukar segala hakikat dan realiti pengundi negara ini. Apa yang pasti,
beliau perlu fahami rakyat sudah mula membulatkan keputusan dengan
memilih Pakatan Rakyat dan menerima kenyataan bahawa hayat BN sudah
berakhir," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
UMCEDEL dalam kajiannya merumuskan semakin ramai rakyat Malaysia
percaya Pakatan Rakyat (PR) boleh mengambil alih Putrajaya, dengan
penambahan daripada 21 peratus kepada 30 peratus.
Selain itu, kajian itu juga mendapati populariti Najib juga semakin
merosot dan kali ini merosot sebanyak 3 peratus mata, daripada 61 kepada
58.
Kajian ini juga menyimpulkan berlaku tren penurunan sambutan terhadap transformasi yang dilakukan Najib.
Mengulas lanjut Riduan berkata, keputusan kajian ini agak mengejutkan
kerana ramai menyangkakan rakyat Malaysia akan mengalih sokongan kepada
BN khususnya kepada PM hasil dari pelbagai janji, tawaran, hadiah dan
insentif yang dicurahkan oleh kerajaan kepada rakyat sejak setahun lalu.
Tambah lagi katanya, Najib sejak menjadi Perdana Menteri beberapa
tahun lalu telah bekerja keras bagi memulihkan reputasi diri beliau
serta parti pimpinannya di mata rakyat.
"Namun demikian, kajian UMCEDEL menampakkan seolah-olah rakyat sudah
nekad menolak kepimpinan beliau sebagai PM serta UMNO-BN sebagai
peneraju di negara ini.
"Fakta ini menggambarkan rakyat biasa atau golongan pengundi atas
pagar yang menjadi kuasa penentu PRU ke 13 sudah mula menunjukkan sikap
mereka terhadap PR," katanya.
.
0 Komen pengunjong :