Mengapa Khairy asyik pertikai idea baru Pakatan


Nik Nazmi Nik Ahmad

PETALING JAYA - Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mempertikai setiap kali Pakatan Rakyat (PR) tampil dengan idea baru untuk meringankan beban rakyat, yang dilihat menjadi isu mencabar kepada survival Barisan Nasional (BN).

"Kenapa setiap kali kami melontarkan idea untuk membantu rakyat seperti memberikan pendidikan percuma dan menurunkan harga kereta dipersoalkan sedangkan apabila pemimpin BN hendak membantu kroni, isu-isu bagaimana hendak mencari dana untuk membayar kroni tidak pula timbul.

"Ketika Kerajaan Selangor mengumumkan akan memberikan air percuma kepada rakyat, BN mengatakan dengan pemberian ini akan memufliskan negeri itu tetapi sehingga hari ini, Selangor tidak muflis," katanya kepada Sinar Harian Online di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Dalam satu tulisan dalam Sinar Harian hari ini, Khairy berkata, PR menyasarkan pengundi muda yang mewakili sebahagian besar daripada lebih dua juta rakyat Malaysia yang baru berdaftar sebagai pemilih, dan juga kelas menengah secara amnya melalui dua daripada cadangan dasar bagi memancing undi.

Antara cadangan itu termasuklah menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menyediakan pendidikan universiti percuma serta yang terbaru, mengurangkan harga kereta penumpang.

"Bagaimana tampung kos Rencana ini tidak bertujuan untuk meneliti kedua-dua cadangan pembangkang tersebut secara langsung, tetapi untuk membincangkan satu persoalan pokok yang timbul apabila parti-parti politik - terutamanya mereka yang tidak memerintah - membuat janji-janji pilihan raya.

"Bagaimanakah pembangkang akan dapat menampung kos bagi segala janji-janji mereka? Jika persoalan ini tidak dapat dijawab, tak perlulah kita bincang tentang dasar-dasar mereka secara spesifik sebab ia sekadar janji manis yang tidak mungkin dapat ditunaikan," katanya.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia, Selangor berkata, pada pembentangan bajet PR tahun lalu, jelas menunjukkan bajet bayangan perikatan itu jauh lebih menjimatkan berbanding bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dakwa Nik Nazmi, BN sendiripun terikut-ikut dengan PR apabila mereka juga memberikan bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana takut hilang undi.

"Bagi kami, perkara ini bukan satu isu dan kami telah buktikan apa yang telah diberikan kepada rakyat di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah mengikut kemampuan.

"Misalnya perkara berkaitan ketirisan ini pula, angka yang diberikan oleh Pemudah ialah RM10 billion setiap tahun tetapi melalui laporan ketua audit negara, jika perolehan dibuat secara telus, itu bukanlah satu angka yang kecil," jelas beliau.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan boleh membayar kroni mereka dengan bayaran yang tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dilaporkan membeli dua syarikat penjana kuasa bebas (IPP), antara Mac dan Ogos lalu pada harga yang tinggi, mengapa kerajaan tidak boleh salurkan kesenangan itu kepada rakyat.

Sehubungan itu, Nik Nazmi menekankan, sekiranya diberi peluang memerintah, PR akan memberi seluruh komitmen dan berazam dari segi politik untuk selesaikan masalah-masalah ini dan beliau yakin PR mampu memberikan apa yang dijanjikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui kelemahan PR untuk menyalur maklumat secara menyeluruh kepada rakyat, amat amat terhad memandangkan tidak semua media dapat laporkan mengenai perancangan mereka.

Namun, katanya, dengan teknologi internet rakyat dah mula jelas tentang hasrat dan aspirasi PR.
.

1 comment :

  1. kalau idea nk tolong rakyat semua akan bangkrap..tolong anak beranak dan kroni xpa pula..mmg haram jadahhhh...hapuskan UBN pd PRU 13 nnt....allahuakbar

    ReplyDelete