Tidak perlu ragui keupayaan Pakatan Rakyat memerintah


KUALA LUMPUR — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yakin mereka sudah bersedia untuk memerintah negara ini sekiranya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang yang perlu dilaksanakan sehingga April depan sebaik sahaja mandat Barisan Nasional (BN) tamat.
Gabungan antara DAP-PAS-PKR itu beranggapan bukti yang mencukupi sudah ditunjukkan di empat negeri pimpinan mereka — Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan — yang mana turut diiktiraf oleh Laporan Audit dari Ketua Audit Negara sejak tiga tahun mereka menguasai negeri-negeri tersebut kecuali Kelantan selepas pilihan raya umu 2008 yang turut menyaksikan BN tewas dua pertiga majoriti Parlimen.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan trek rekod kerajaan PR di negeri-negeri tersebut  merupakan bukti kukuh dan tiada pihak yang perlu meragui mereka.
“Saya rasa apa yang lebih penting adalah kewibawaan dan trek rekod yang Pakatan telah buktikan di negeri yang diperintah ... itu adalah aset yang berharga dan integriti yang ditunjukkan kerajaan PR.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan trek rekod kerajaan PR di negeri-negeri tersebut merupakan bukti kukuh dan tiada pihak yang perlu meragui mereka.
“Kita telah lahirkan ramai pemimpin yang berkualiti dan boleh dipercayai, tiada penyalahgunaan dan penyelewengan seperti mana pemimpin BN,” tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi kepada The Malaysian Insider dan menambah berbangga dengan ketua menteri dan menteri besar di negeri-negeri tersebut. “Tiga tahun berturut-turut Laporan Ketua Audit Negara sahkan kami mentadbir dengan baik.”
Semalam, pemerhati politik menyatakan keraguan mereka bahawa PR masih lagi belum bersedia memandangkan terdapat lagi beberapa perkara yang tidak diselesaikan pakatan pembangkang tersebut, antaranya isu Hudud dan juga kabinet bayangan mereka.
Mengulas berkenaan perkara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menjelaskan yang paling utama adalah polisi yang bakal dilaksanakan PR jika mereka menawan Putrajaya, dan bukan siapa pemegang polisi tersebut.
“Polisi lebih penting ... tak kira siapa jadi menteri, itulah polisinya.
“Kita jadi kerajaan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, dan Kedah tanpa ada persediaan, tapi kami berjaya,” katanya merujuk kepada kemenangan mereka dalam pilihan raya 2008.
“Sekarang, kami telah benar-benar bersedia, dan itu bukti kami sedia memerintah,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi dan menambah “tak kira lantik siapa pun, kami memang lebih baik”.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut bersependapat dengan rakan parti komponennya itu dan menegaskan “sejarah dunia dan demokrasi menunjukkan bahawa ‘kehendak dan pilihan rakyat’ menjadi penentu siapa diberi amanah memerintah”.
“Jika gagal memenuhi aspirasi maka rakyat akan menghakimi dan memilih pengganti... di peringkat nasional, hampir semua dasar dan isu PR diguna pakai BN.”
Ahli parlimen Lembah Pantai itu juga menegaskan dengan keupayaan mentadbir empat negeri, PR sudah benar-benar bersedia dibantu dengan “manifesto bersama” yang “mengikat” mereka.
“Ia diperkukuh dengan ‘perlembagaan’ kami — dasar bersama yang memperincikan prinsip-prinsip utama yang akan mengikat kami bersama,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Insya Allah, kesediaan kami terbukti menerusi pentadbiran di keempat-empat negeri yang berjalan dgn baik.
“Di peringkat pusat, pilihan PM sudah diputuskan, dengan akuan bahawa pemegang jawatan itu tidak boleh memegang portfolio kewangan.”
The Malaysian Insider semalam melaporkan pemerhati politik meragui mengenai kesediaan PR untuk memerintah Malaysia jika gabungan itu berjaya merampas Putrajaya pada PRU akan datang, dengan mengatakan terdapat isu-isu yang tidak dapat diselesaikan seperti “kabinet bayangan” atau kerajaan menunggu, mengatakan ini telah “menyekat kredibiliti mereka”.
Malah, pemerhati juga turut membangkitkan bahawa PR masih perlu menyelesaikan perbezaan ke atas isu-isu seperti hudud, undang-undang Islam, dengan menambah bahawa pengalaman pemimpin akan menjadi satu isu.
.

0 Komen pengunjong :