Bagai
sirih pulang ke gagang. Setelah bertungkus lumus menuntut royalti ke
atas petroleum, akhirnya perjuangan kerajaan negeri Pakatan Rakyat
Kelantan memperlihatkan hasil yang positif. Hak rakyat pulang kepada
rakyat. Kelantan dikhabarkan bakal menikmati royalti minyak yang sebelum
ini disekat sejak lebih lebih 20 tahun.
Dulu BN bukan main sombong pertahan minyak Kelantan kononnya hak
pusat. Sekarang nada mereka lembut bersopan. Baguslah kalau hak rakyat
nak dikembalikan pada rakyat.
“Wah, ini sudah bagus, Najib nak bagi royalti minyak Kelantan. Janganlah bising-bising lagi,” kata seorang teman kepada saya.
“Tapi siapa Najib? Minyak tu kan hak milik negeri. Sepatutnya dapat lama dah…” sambut saya.
Walaupun dulu Pengerusi BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamed pernah
berkata bahawa Kelantan tidak berhak mendapat royalti petroleum
sekiranya berada di luar kawasan, kini nadanya berubah, sama seperti
bosnya, Najib Razak yang ke hulu hilir memujuk orang mengundi BN.
Dek kerana bahang pilihanraya umum ke-13 semakin hampir, timbul
beberapa persoalan. Adakah keputusan kerajaan persekutuan ini
benar-benar jujur atau sekadar modal kempen pilihanraya? Mengapa baru
sekarang kerajaan persekutuan membuat keputusan ini? Memanglah tak elok
bersangka buruk, tapi soalnya siapa yang mempunyai rekod buruk selama
ini?
Sinar harapan vs harapan samar?
Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan persekutuan BN telah
bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk buat kajian berhubung
isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Akan tetapi, menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti
Petroleum Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, wujud beberapa
perkara yang menjadi kesamaran.
“Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan, keadaan sebenar hanya
akan ditentukan enam bulan dari sekarang. Sekarang bulan Ogos, jika
pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawantakuasa ini membuat
laporan, kemudian menunggu pertimbangan kabinet atas cadangan
jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan,”
katanya.
Dan paling perkara yang tidak menyenangkan tambah Husam lagi,
Kerajaan Pusat akan membuat pembayaran wang ihsan dari hasil pengeluaran
petroleum Kelantan di luar 3 batu nautikal melalui Jawatankuasa
Pembangunan Persekutuan (JPP). Siapa JPP ini? Mengapa tidak diserahkan
sahaja kepada yang empunya tubuh, yakni kerajaan negeriu Kelantan?
Husam yang juga salah seorang Exco Kerajaan Negeri kelantan turut
melahirkan kehairanan bagaimana boleh Kerajaan Pusat mencapai
persetujuan dengan Kerajaan Terengganu dalam tempoh usaha penubuhan
Jawatankuasa Khas ini, malah Terengganu telah dibayar dengan bayaran
tunai walaupun pengeluaran petroleum di Terengganu juga berada di luar
kawasan 3 batu nautikal.
“Kenapa tuntutan Kelantan tidak mengguna pakai penyelesaian dengan
Terengganu sahaja?” soal Husam, mengingatkan tentang Terengganu yang
kini diperintah oleh UMNO-BN.
Kerajaan persekutuan BN pernah ‘buli’ kerajaan PAS Terengganu
Kita masih ingat lagi bagaimana negeri Terengganu di bawah kepimpinan
Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang ‘dibuli’ oleh kerajaan
persekutuan BN. Memang sangat tak berhati perut. Royalti negeri
Terengganu ketika itu ditarik dan digantikan dengan ‘wang ihsan’. Jelas
dari perkara tersebut, kita serba maklum perangai jijik UMNO-BN.
Kokokan UMNO-BN yang kata nak bela Melayu, konon pertahankan hak
Melayu, tapi mereka juga yang rompak harta ‘Melayu’ di Terengganu dan
Kelantan. Itu tak termasuk duit poket kita semua yang dicukai.
Tak selesai lagi ‘isu lembu Shahrizat’ dan NFC, PKFZ, Langat 2 dan
LRT Ampang, keluar pula cerita royalti. Ibarat gali lubang tutup
lubanglah.
Royalti minyak bukan isu Kelantan sahaja
Memetik laporan Bernama baru-baru ini, Najib menegaskan bahawa
kerajaan pusat sememangnya berlaku adil dan telus dengan tidak memilih
“bulu” dan membezakan fahaman politik, dalam memenuhi kepentingan
rakyat. Betul ke?
Bab isu royalti minyak ini bukan sekadar di Kelantan dan Terengganu
sahaja, lihatlah di Sabah sendiri. Walaupun kaya dengan hasil bumi,
mengikut data perangkaan, negeri yang diterajui BN tersebut merupakan
negeri paling miskin di Malaysia.
Pelik wal ajaibnya, sudah lebih dua dekad Kelantan di anak
tiri gara-gara rakyatnya memilih PAS untuk menerajui pentadbiran negeri.
Tak ke pilih “bulu” namanya tu.
Diskriminasi BN terhadap Kelantan
Jangan tak tahu. Daripada kutipan dan laporan oleh mereka yang
prihatin dengan nasib ranak negeri Kelantan, berikut adalah antara
diskriminasi kerajaan persekutuan BN ke atas kerajaan Kelantan pimpinan
PAS:
1-Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang mengganggu
sistem pentadbiran negeri sejak 1990 dimana ia mewujudkan dualisme dalam
pentadbiran negeri seperti wujudnya dua penghulu dalam satu-satu
jajahan.
2- Menteri Besar tidak lagi dilantik menjadi Pengarah Keselamatan
Negeri Kelantan dan beliau digantikan dengan Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri.
3- Baja subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh oleh Kerajaan
Persekutuan kepada rakyat Kelantan yang bekerja sebagai petani tetapi
hanya diberi kepada mereka yang mendapat sokongan dari JPP dari kalangan
penyokong UMNO-BN.
4- Menteri Besar dikatakan tidak lagi dijemput dalam
mesyuarat-mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang sudah menjadi
Kelab MB BN, sebaliknya digantikan dengan wakil UMNO yang kalah dalam
pilihanraya.
5- Geran Persekutuan dalam bentuk capitation grant, federal road grant, growth grant,
dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain diberi lewat. Ia
menyebabkan Kelantan lewat menerima bayaran sehingga dibawa ke tahun
berikutnya sedangkan di negeri-negeri lain ada yang dibayar tiap-tiap
bulan dan ada yang dibayar pada bulan Januari dan Jun.
6-Peruntukan geran rumah awam kos rendah sebanyak RM12 juta yang
telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak Perbadanan
Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan telah ditarik balik sebaik sahaja PAS
berjaya mengambil alih pentadbiran Kelantan.
7-Permohonan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Aziz sejak
tahun 1991untuk mewujudkan pelabuhan di Kelantan tidak dilayan oleh
Perdana Menteri yang ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah
sekarang. (Di Pulau Pinang sekarang, BN mahu swastakan pelabuhan negeri
kepada kroninya)
8- Royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan terus dinafikan
sehingga kerajaan Kelantan terpaksa membawanya ke mahkamah untuk
mendapatkan royalti minyak dan gas yang mana merupakan hak rakyat negeri
Kelantan.
9- Wakil kerajaan negeri untuk berada di dalam Lembaga Pengarah
KESEDAR tidak lagi dari kerajaan negeri, tetapi dilantik oleh kerajaan
persekutuan.
10-Pengambilan peneroka untuk menduduki Felda dihentikan. Kerajaan
persekutuan memajukan sendiri dan mengambil keuntungan dari ladang Felda
Plantation walhal tanah Felda diberikan oleh kerajaan negeri untuk
dimajukan, dibangunkan dan menempatkan peneroka.
11-Pentadbiran Majlis Sukan Negeri Kelantan, turut mendapat
tempias,sehingga telah menyebabkan arena sukan negeri mempunyai dua
identity berbeza dengan negeri-negeri lain.
12- Kementerian Pelancongan telah melantik agensi lain untuk
mengendalikan urusan pelancongan di Kelantan sedangkan kerajaan negeri
mempunyai Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) sendiri di bawah Exco yang
menjaga Portfolio Pelancongan dan ada pegawai kerajaan yang ditugaskan
menjadi pengarahnya.
13- Majlis Persidangan Speaker-Speaker Malaysia yang dipengerusikan
oleh Speaker Dewan Rakyat sudah tidak diadakan lagi, sejak PRU tahun
2008 lalu.
Tak cukup ditekan, fitnah juga dilemparkan
Ini baru sebahagian dari diskriminasi yang dilakukan kerajaan pusat
BN terhadap kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS. Ia tidak
termasuk lagi tohmah dan fitnah yang dilontarkan terhadap pentadbiran
Kelantan oleh media arus perdana milik mereka.
Kesediaan kerajaan persekutuan untuk membincangkan isu royalti minyak
Kelantan menunjukkan usaha gigih kerajaan negeri dan gerakan NGO rakyat
Kelantan semakin membuahkan hasil.
Ia tidak lain menunjukkan kerajaan UMNO-BN yang dikepalai Najib
semakin terdesak sehingga dilihat seolah-olah sanggup melakukan apa
sahaja untuk memenangi semula hati pengundi dan rakyat.
Walaubagaimanapun, dengan rekod pentadbiran yang jelik dicemari
rasuah dan salah guna kuasa yang melampau, rakyat semakin bijak menilai.
Apatah lagi laungan Program Tranformasi Kerajaan yang dilaungkan Najib
semakin menampakkan cacat cela.
“Mari kita tengok siapa yang akan kena…”
–/ Roketkini.com
.
Mondy diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew
1 week ago
0 Komen pengunjong :