Kerana menganggap minda orang Melayu masih di takok lama seperti benak mereka,
para pecacai UMNO dan pelampau kaum di alam maya internet semakin
ghairah melempar batu sembunyi tangan terhadap DAP dan Pakatan Rakyat.
Seperti memijak agama dan membuang adab sopan Melayu, golongan
pelampau ini sudah tidak kenal etika kewartawanan, apatah lagi politik
yang bermoral, dalam usaha jijik mereka untuk membangkitkan kemarahan
orang Melayu terhadap kaum lain.
Bukti-buktinya jelas dengan tulisan yang amat berbahaya dan bersifat
menghasut yang mereka paparkan di alam internet. Antaranya:.
1.
medan-info-kita.blogspot.com
Tuduhan ini memetik ucapan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli
Nordin, (bekas ahli PKR yang kini bersama dengan pertubuhan perkauman
Perkasa) yang memfitnah Lim Kit Siang melalui putar-belit kenyataan
daripada laporan Kertas Putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) berhubung
rusuhan 13 Mei 1969..
2.
parpukari.blogspot.com
Juga memetik dari sumber yang sama iaitu MAGERAN dengan diputar-belit
juga serta ditambah sedikit tentang sejarah penubuhan DAP yang turut
dipalsukan hakikat sebenar..
3. Peraktoday.com
Juga memetik dari sumber MAGERAN dengan tokok-tambah yang jelas bohong.
4.
kerajaanrakyat.blogspot.com
Laman ini menggunakan rencana, olahannya jelas sebagai satu karangan fiksyen dengan
copy and paste gambar serta kenyataan-kenyataan umum dari pihak yang tidak diketahui siapa, di mana, bila dan bukti kewujudan kenyataan ini.
Tukang fitnah berkokok bohong, yang tiada diadakan, yang ada ditiadakan
Kebebasan bersuara amat kita raikan, ia mesti bersifat terbuka dan
adil secara saksama. Namun bagi mereka yang bekerja semata-mata kerana
kebencian dan diupah, maka kebebasan itu tiada ada ertinya lagi. Apatah
lagi mereka-mereka ini tiada asas politik moral atau dan tiada kefahaman
kepada demokrasi sejagat, telah menggunakan kebebasan ini untuk
memfitnah dan menipu.
Jika kita lihat dakwaan yang kononnya disertakan bukti dari MAGERAN,
rupa-rupanya bukti itu juga adalah satu dakwaan. Maksudnya sebagai
contoh, “saya mendakwa saya ada bukti”. Ini cukup melucukan kerana
dakwaan ada bukti itu hanya dakwaan perkataan sedangkan dokumen asli
laporan MAGERAN itu sendiri tidak dipaparkan dan diterbitkan kepada
umum.
Maknanya para pecacai ini menganggap tidak ada orang Melayu khususnya
yang akan baca laporan penuh Kertas Putih dan akan percaya kepada apa
sahaja fitnah yang mereka cipta. Begitu rendah sekali pandangan mereka
kepada kaum sendiri.
Jika ikut dakwaan mereka, tragedi 13 Mei ini adalah satu kes besar
yang melibatkan keselamatan negara tetapi peliknya bukti dokumen pun
tidak disertakan kecuali dipetik sana-sini untuk menghalalkan fitnah
mereka.
Kita ingin menasihatkan puak-puak ini supaya bersikap berani kerana
benar seperti pakar ekonomi PKR, Rafizi Ramli, yang mendedahkan skandal
lembu dan kondo NFC yang bukan sekadar mendakwa berlaku penyelewangan
tetapi juga menyediakan bukti-bukti lengkap.
Inilah contoh politik yang betul dan perjuangan yang ikhlas. Tapi
malang di Malaysia, pihak yang mendedahkan kemungkaran dan mengemukakan
bukti pula yang kena dakwa.
Memang sifat tukang fitnah sukar diubah. Mungkin itu sudah darah
daging mereka. Namun, bagi pembaca dan penonton, terutamanya orang
Melayu, di sinilah pentingnya amalan Islam dan budaya Melayu, yakni
berhati-hati dan sentiasa was-was dengan berita dan laporan yang
disangsikan.
Sepatutnya perlu diselidik dahulu apabila menerima tulisan dan
catatan para pecacai UMNO, khususnya dengan memastikan bahawa dalam
apa-apa kenyataan (dan fitnah) mereka mestilah:
* Ada bukti, dokumen, surat, laporan penuh yang sahih dan tidak dipertikaikan;
* Siapa dan apa serta kelayakan orang yang membuat tuduhan;
* Siapa dan apa serta bagaimana orang yang kena tuduh;
* Tempat, tarikh, waktu dan bila tuduhan dibuat serta dikatakan berlaku; dan
* Apa jenis rekod dan dokumentasi yang mewajarkan tuduhan dibuat.
Jika tidak ada semua itu, ia hanya bererti pecacai UMNO tersebut cuma
mampu berkokok bohong. Seperti perbuatan rejim Nazi pada 1930-an dan
40-an dahulu, mereka telah mencipta pelbagai fitnah untuk menyemarakkan
rasa benci kaum kulit putih Jerman kepada kaum-kaum lain dianggap
bertaraf rendah atau sesetengahnya dianggap sama taraf dengan binatang
seperti kaum Yahudi, kaum kulit hitam dan kaum Asia.
Dalam propaganda jijik mereka, yang halal diharamkan, yang haram
dihalalkan, yang tiada diadakan, yang ada ditiadakan. Ini jelas dengan
sikap pecacai UMNO yang giat memfitnah DAP dan Lim Kit Siang berhubung
tragedi 13 Mei yang sengaja berniat untuk membakar hati orang Melayu
supaya membenci kaum lain di Malaysia.
Dakwa sesuka hati
Semua dakwaan ini bersifat sentimen. Mereka menggunakan sejarah
penubuhan DAP untuk mengabsahkan bahawa DAP ejen Cina, ejen komunis
walaupun umum mengetahui ia adalah dakwaan palsu.
Sedangkan mereka ini tidak sedar bahawa UMNO sendiri sewaktu
pra-Merdeka telah bekerjasama dengan penjajah British untuk menghapuskan
perjuangan nasionalis Melayu Islam seperti Parti Kebangsaan Melayu
Malaya, Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita
Sedar (AWAS). Malah UMNO juga bersekongkol dengan British untuk
melumpuhkan gerakan petani dan pekerja pelbagai kaum di Tanah Melayu
sbeelum Merdeka dahulu.
Para pecacai siber pro-UMNO ini, sama ada yang diupah dengan
mengunakan wang rakyat hasil kutipan kerajaan atau mereka yang behati
busuk benci kaum lain, tidak pula dibekalkan dengan sebarang bukti sah
untuk menegakkan benang basah mereka.
Akhirnya setakat yang mereka mampu hanyalah mencipta fitnah serta
memetik kenyataan Ahli-Ahli Parlimen yang diketahui rasis dan assibiyah
sikap mereka yang turut tidak menyediakan bukti kecuali memutarbelitkan
fakta-fakta yang ada.
Jadilah Melayu yang bermaruah dan berani
Kita ingin sekali melihat bukti dan dokumen yang sah dari agensi
kerajaan dan dengan bukti itu mungkin boleh digunakan untuk menegakkan
kebenaran yang laung-laungkan oleh puak-puak ini. Kita mahu fitnah
berpuluh-puluh tahun ini diadili di muka pengadilan, biar semua rakyat
tahu siapa sebenarnya dalang di sebalik peristiwa berdarah 13 Mei.
Justeru, kita nasihatkan para pecacai siber ini supaya memaparkan
sepenuhnya semua laporan rasmi dan sah berhubung tragedi 13 Mei 1969
tanpa disunting atau dipuarbelitkan. Biarlah pembaca terutamanya orang
Melayu menjadi saksi kepada apa yang benar dan apa yang palsu.
Biarlah semua orang tahu, melalui dokumen dan laporan yang sah,
bahawa rusuhan 13 Mei 1969 melibatkan anasir-anasir komunis, parti-parti
pembangkang dan pemerintah termasuk Gerakan dan UMNO sendiri, serta
tragedi malang itu mengorbankan banyak nyawa dari semua kaum, malah
laporan MAGERAN mengesahkan bahawa kaum Cina yang paling ramai menjadi
mangsa pembunuhan.
Sehingga hari ini kerajaan Malaysia masih belum dapat mencari punca
kejadian serta siapa yang bertanggungjawab. Janganlah para pecacai cuba
menimbulkan ketegangan kaum dengan cerita rekaan mereka yang boleh
menghancurkan keharmonian dan semangat setiakawan yang ada pada hari
ini.
Bagi mereka yang berotak, cubalah tanya diri sendiri, jika benar Lim
Kit Siang adalah dalang 13 Mei, kenapa kerajaan tidak pernah mendakwa
beliau di mahkamah? Malah mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila
Kit Siang ditahan di bawah ISA pada 1969, beliau tidak pernah disoal
siasat tentang 13 Mei. Rekod dan dokumen penahanan beliau barangkali
masih ada dalam simpanan pihak berkuasa Malaysia.
Bagi pihak yang menfitnah ini, kita beri satu jalan yang mudah untuk
mereka buktikan dakwaan mereka. Jika mereka bermaruah dan berani,
desaklah parti pujaan mereka UMNO untuk meminta kerajaan menubuhkan satu
Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berkecuali untuk menyiasat secara
menyeluruh ke atas semua pihak dan agensi/pihak berkuasa demi merungkai
misteri 43 tahun ini.
Kita juga ingin nasihatkan elit-elit UMNO yang ada, gunakanlah
wartawan yang lebih berwibawa berbanding pecacai siber longkang yang
tidak beretika dan tidak tahu apa yang sedang mereka perbuat ini.
Atau sekurang-kurangnya mungkin masih ada beberapa blogger pro-UMNO
yang jujur dan ikhlas memperjuangkan ideologi parti mereka. Mungkin atas
kejujuran mereka, UMNO tak perlu keluarkan satu sen pun untuk khidmat
sukarela mereka, kecuali membekalkan dokumen dan laporan rasmi sebagai
hujah, dan bukannya fitnah, maki hamun dan jiwa longkang yang ada pada
mereka yang lain itu.
–/ Roketkini.com
.
0 Komen pengunjong :