Pengerusi
DAP Karpal Singh hari ini mengemukakan petikan daripada hansard
Parlimen yang didakwanya sebagai bukti bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad
membuat kenyataan menghasut ke atas Raja-Raja semasa perbahasan di
Parlimen yang membawa kepada pindaan perlembagaan 1993 ke atas kekebalan
Raja-Raja.
Katanya, Mahathir menyatakan perkara itu ketika
membentangkan usul bagi pindaan terbabit, berhubung penubuhan Mahkamah
Khas bagi menghapus kekebalan Raja-Raja daripada proses perundangan.
Beliau seterusnya menggesa Mahathir supaya hadir ke perbicaraan yang sedang berlangsung ke atasnya.
Perbicaraan
berkenaan adalah berhubung kenyataan MP Bukit Gelugor itu dalam satu
sidang media pada 6 Februari 2009, bahawa tindakan undang-undang boleh
diambil ke atas Sultan Perak atas peranan dalam krisis perlembagaan di
negeri itu pada tahun berkenaan.
"Saya cabar Mahathir supaya
datang ke mahkamah secara sukarela di perbicaraan saya dan mengakui
serta menjelaskan apa yang dinyatakan di Parlimen pada 18 Januari 1993.
"Saya harap dia tidak akan lari daripada cabaran ini," kata Karpal dalam satu kenyataan.
Mahathir semalam
mencabar Karpal supaya mengemukakan petikan berkenaan.
Berikut adalah petikan yang dikemukakan Karpal daripada hansard bagi persidangan Dewan Rakyat pada 18 Januari 1993:
"Jika
Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kekebalan yang diberikan kepada
Raja-Raja perlulah dihapuskan." [Tepuk]’ [Hansard 18 Januari, 1993,
halaman 16]
"Sebenarnya ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu,
sebagai Penasihat kepada Raja-Raja, telahpun menegur Raja-Raja
berkali-kali semasa mereka berkhidmat. Saya tahu teguran ini dibuat
kerana perkara ini telah dilaporkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan
juga Majlis Tertinggi UMNO berkali-kali.
"Allahyarham Tun Hussein
Onn semasa menjadi Perdana Menteri pernah dalam ucapan bertulis di
suatu Mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli
Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya
perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan.
"Tetapi teguran
ini tidak berkesan. Pekara-perkara yang disentuh terus dilakukan juga,
bahkan ditingkatkan. Apa yang tidak pernah dibuat di zaman British dan
pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka, dilakukan dengan semakin
ketara da meluas." [Hansard, 18 Januari, 1993, halaman 19]…
"Kerajaan
memang mendengar dan menyedari akan pandangan dan kemarahan sebilangan
rakyat yang mengetahui perbuatan Raja. Demikianlah kemarahan mereka
sehingga ada, terutama di kalangan generasi muda, yang menganggap Sistem
Beraja sudah ketinggalan zaman.
"Tetapi oleh kerana Akta Hasutan
dan larangan terhadap mengkritik Raja, Raja tidak mendengar dan tidak
percaya kepada Penasihat mereka apabila maklumat disampaikan berkenaan
kegelisahan rakyat. Raja dan keluarga Diraja nampaknya berpendapat
bahawa semua ini adalah ciptaan Penasihat-penasihat Raja untuk
menakutkan Baginda atau untuk merebut hak Raja.
"Dalam keadaan
ini, Raja bukan sahaja akan meneruskan amalan-amalan yang tidak
disenangi atau disukai oleh rakyat tetapi juga akan melakukan
perkara-perkara yang lebih dibenci oleh rakyat. Jika trend ini tidak
disekat, perasaan rakyat terhadap Raja tentu akan meluap dan menjadi
begitu buruk sehingga pada suatu masa nanti rakyat mungkin tidak lagi
dapat membendung perasaan mereka. Perasaan yang diluahkan dalam
surat-surat kepada akhbar sebenarnya sudah lama wujud.
"Dengan izin, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membaca petikan daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar
The Straits Times
pada 1946 oleh seorang tokoh Melayu yang terkemuka, apabila British
mencadangkan penubuhan Malayan Union. Tokoh ini kemudian memegang
jawatan yang tinggi dalam Kerajaan. Rencana ini tidak disiarkan oleh
akhbar
Straits Times tetapi ia disampaikan kepada saya baru-baru ini oleh penulis.
"Penulis
ini menyatakan, dengan izin “All intelligent Malay leaders ought now
seriously to give most profound and careful thought to the question
whether the time has not arrived when the Malay Royalty ( I mean the
Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves altogether”
"Jika
pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia tidak
mungkin wujud semula pada tahun 1993 [Tepuk] jika Raja-Raja tidak
dihalang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diingini?”
[Hansard, 18 January, 1993, halaman 20-22]…
"Sebelum ini terdapat
banyak insiden dimana Raja menganiaya rakyat, Raja menyalahi
undang-undang civil dan criminal, Raja menyalahgunakan wang serta harta
Kerajaan dan Negara, Raja menekan dan menganiaya pegawai-pegawai"
[Hansard, 18 Januari, 1993, halaman 26]
.
0 Komen pengunjong :