Percubaan Adun Umno Johor menyarankan supaya kerajaan BN Johor
melaksakan hudud mendapat sambutan panas sekejap dan cadangan Ulama Muda
Umno supaya Umno ada sayap ulama juga panas sekejap.
Panas sekejap dalam peribahasa Melayu ialah panas-panas tahi ayam.
Sekarang hudud anjuran ahli Umno sudah mati dan seruan mengadakan Majlis Ulama atau seumpanya buat UMNO juga sudah mati.
Semuanya tenggelam dalam polemik hudud yang dicadangkan oleh PAS yang
diloyar-burukkan oleh Umno sebagai hudud PAS dan hudud PAS adalah hudud
palsu. Para pemimpin menolak dan tidak memberi laluan kepada enakmen
berkaitan hudud yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu kerana loyar
buruknya mengira ia hudud palsu.
Loyar buruk itu sekadar helah bahawa golongan itu amat nipis imannya
terhadap hudud. Bila ditanya adalah orang Umno menentang hudud,
jawapannya tidak. Mereka pun mahu hudud.
Barang dijauhkan ia menyerupai orang yang solat di belakang
Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, yang mengaku beriman di hadapan
baginda, tetapi menolak kerasulan baginda di belakangnya.
Ketika ADUN Johor itu menyarankan hal itu, beria-ia Umno menyahutnya
untuk beberapa hari, tetapi seluruh jentera propaganda Umno Melaka-laga
PAS dengan DAP atas isu hudud itu.
Hingga ada yang cuba mensabitkan tentangan DAP terhadap hudud itu
malayakkannya dikatagorikan sebagai kafir harbi, lalu dikatakan haram
hukumnya mengundi, menyokong dan bekerjasama dengan DAP.
Jika dilanjutkan lagi tentang kafir harbi, halal darahnya ditumpahkan.
Apa maksud segala perkembangan panas ini? Ia adalah untuk mematikan
isu orang Umno minta hudud dilaksanakan dan ada ulama makan gaji
dengannya minta Umno ada sayap ulama.
Apabila semuanya gamat dengan apa yang dikatakan polemik hudud antara
PAS dan DAP, maka isu hudud yang dibawa PAS terus hidup menjadi
perbincangan semua pihak.
Cadangan Adun Johor itu tenggelam dan mati. Maka Umno tidak sibuk lagi dengan hudud yang dikatakan hudud sebenar itu.
Yang timbul di tengah masyarakat ssekarang, yang benar-benar
memperjuangkan hudud itu adalah PAS. Walaupun sekiranya Umno pula mati
selepas PRU 13 nanti, tidak pula mudah bagi PAS melaksanakan hudud itu
serta merta, kerana ia memerlukan kerelaan DAP dulu, tetapi isu tidak
mati.
Mungkin PAS akan mengambil masa 20 tahun atau 30 tahun sebelum DAP
mempersetujui ia boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam saja, tetapi
dakwah atas hudud itu akan berjalan.
Mungkin Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang mati
dulu, Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga mati dulu, isu hudud belum
selesai, tetapi tidak boleh orang PAS yang kemudiannya berputus asa atas
pelaksanaan itu.
Dalam suasana kedua-dua parti itu berbeza pandangan atas isu itu, Tok
Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi memahami mengapa DAP bersikap
begitu dan Lim Kit Siang dan Karpal juga memahami mengapa PAS konsisten
dengan pendiriannya. Dengan satu perkara yang mereka tidak setuju tidak
menghalang mereka untuk bersetuju dalam banyak pekara lain.
Sehingga ini Karpal dan DAP tidak melarang PAS terus berdakwah
tentang hudud dan mahu melaksanakan hudud. Paling menarik dalam
perkembangan yanag terbaru Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik
Setiausaha Agung DAP menyatakan DAP membuka pintu muzakarah dengan PAS
tentang hudud.
Semua ini adalah perkembangan antara orang muda DAP dan orang muda
PAS. Kedua-dua akan hidup lama lagi dan mereka ada tanggungjawab
membangunkan negara dan bangsa Malaysia menuju ambang keadilan, merdeka
dan sejahtera.
Hudud yang dibawa PAS tetap hidup tetapi yang mati hudud yang dicadangkan oleh Adun Umno.
.
0 Komen pengunjong :