KUALA LUMPUR 13 Ogos: Peguam badan hak asasi Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) yang memfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh
Malaysia, Fadiah Nadwa Fikri berkata, perbicaraan tidak dilakukan di
negara ini kerana ia bergantung sepenuhnya kepada ‘budi bicara’ Peguam
Negara (AG).
“Dakwaan
oleh AG boleh terpilih, berdasarkan kepentingan politik Umno BN.
Contohnya, kes NFC (Pusat Fidlot Nasional). Suami Shahrizat Jalil
disiasat, kemudian didakwa di mahkamah.
“Jadi, sepatutnya dalam kes rasuah Scorpene, Razak Baginda yang
disiasat,” kata Fadiah menjelaskan siasatan dibuat terhadap penerima
manfaat daripada projek yang didakwa wujudnya penyelewengan.
“Suaram tak boleh dakwa Razak Baginda. Suaram hanya boleh bawa bukti
dan lapor. Yang mendakwa Razak Baginda ialah mahkamah. Dakwaan di
mahkamah dibuat atas ‘budi bicara’ Peguam Negara,” kata Fadiah yang juga
peguam Lawyers for Liberty (LFL).
Beliau menegaskan, kuasa Peguam Negara terlalu luas dan
berkepentingan politik kerana dilantik oleh eksekutif iaitu Perdana
Menteri.
Fadiah berkata, menurut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan,
Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri.
“Terserah pada mahkamah (untuk dakwa kes Scorpene). Mereka yang
berkuasa dan tentukan kalau saksi perlu tampil. Di Perancis, (kes
seperti ini) akan disiasat.
“Di Malaysia, kalau AG ada bukti dan sembunyikan dari dakwaan, itu
‘abuse of power’ (salahguna kuasa). Masalahnya, orang biasa tidak boleh
dakwa AG,” katanya.
Dalam pada itu Fadiah memaklumkan, perbicaraan kes ini akan bermula
di Perancis sebaik Hakim Penyiasat, Roger Le Roire dan Serge Tounaire
memanggil notis inkuiri.
“Perkara utama yang akan diuruskan ialah penyerahan spina,” jelas
Fadiah memaklumkan, sesi akan datang melibatkan saksi dari pihak
Malaysia.
Suaram adalah organisasi yang bertanggungjawab memfailkan kes
terhadap DCNS, syarikat pembuat kapal selam Perancis yang membina dan
menjual kapal selam kepada negara dunia ketiga termasuk Malaysia.
Kes itu difailkan kerana DCNS membayar ‘komisen’ lebih daripada RM500
juta kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki Abdul Razak
Baginda, rakan karib kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada 20 April lalu, Pengarah Suaram, Kua Kia Soon; Anggota
Sekretariat, Cynthia Gabriel dan Fadiah berhujah di hadapan hakim dalam
sesi tiga jam di Perancis.
Najib antara nama dalam senarai yang dicadangkan Suaram kepada hakim
di tribunal Grande Instance Paris, berhubung rasuah pembelian Scorpene.
.
0 Komen pengunjong :