Pindaan Akta Pekerjaan Beri Kuasa Majikan Buang Pekerja Dengan Mudah

psm1SHAH ALAM 17 Okt - Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan berkata kesan terbesar cadangan pindaan kepada Akta Pekerjaan adalah perubahan terhadap definisi majikan dan pengkontraktan buruh.

Katanya di bawah pindaan yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang berlangsung sekarang, satu kategori baru kontraktor diwujudkan iaitu Kontraktor Buruh yang tugas utamanya hanya membekalkan sumber tenaga manusia.

Jelas beliau sebelum ini istilah 'kontraktor' merupakan sebahagian daripada bidang kerja prinsipal.

"Melalui pindaan ini, akta sediada mengiktiraf Kontraktor Buruh sebagai majikan dan tidak lagi berada di bawah tanggungjawab prinsipal.

"Pindaan ini akan memudahkan usaha untuk membuang pekerja dan dengan itu pihak prinsipal akan bebas daripada tanggungjawab untuk membayar faedah pekerjaan kerana mereka yang dibuang kerja bukan lagi pekerjanya," jelas Arutchelvan dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tegas beliau sekiranya pindaan itu diluluskan sisa hak yang masih ada pada golongan pekerja akan terhapus sama sekali dan dengan itu termansuh jugalah gerakan kesatuan sekerja serta jaminan kerja dan jawatan tetap.

Arutchelvan menambah antara pindaan yang dicadangkan ialah berkenaan notis Pemberhentian Kontrak (Seksyen 12), Tempoh Pembayaran Gaji (Seksyen 19), Pembayaran Gaji Melalui Bank (Seksyen 25A), Larangan Kerja Malam (Seksyen 34), Pendaftaran Bayaran Elaun (Seksyen 44, 61) dan Tempoh Bekerja (Seksyen 60A).

Jelas beliau lagi, pindaan kepada Seksyen 20 Akta Perhubungan Industri 1967 berhubung representasi pemecatan akan mengeluarkan pekerja yang bekerja kurang daripada setahun, bergaji RM10,000 atau lebih dan pekerja yang berkontrak tetap.

Arutchelvan juga mengingatkan terdapat cadangan untuk terus mengekang kegiatan kesatuan sekerja seperti pindaan Seksyen 5(2)(B) yang akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Perhubungan Industri untuk menyenak semula status kesatuan yang telah diberi pengiktirafan.

Ini akan menafikan hak pekerja untuk membaut rundingan secara berkelompok.

0 Komen pengunjong :