Mohamad Sabu...boleh percaya ke kenyataan Mahathir tu?


KUALA LUMPUR: Jenis yang hari ini maki hamun dan esok dengan mudah cakap lain pula tidak boleh dipercayai dakwaannya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian ketika menolak apa yang disifatkannya sebagai 'histeria' terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Presiden Umno itu hari ini dilaporkan mendakwa, undi kepada Pakatan Rakyat (PR) sama seperti mengundi George Soros dan penjajahan semula.

"Tak boleh pakai, tak boleh percaya cakap dia. Dulu masa krisis kewangan 1997/1998, garang sungguh dia maki hamun Soros. Penyangaklah, macam-macam dia kata dan pada masa itu ramailah yang percaya.

"Tetapi pada tahun 2006, portal berita berkaitan MCA sendiri yang laporkan Dr Mahathir kata dia terima bahawa Soros tidak bertanggungjawab terhadap krisis kewangan itu.

"Saya ulangi, portal berita berkaitan MCA dan bukan Malaysiakini yang Dr Mahathir tuduh dibiayai Soros," kata Mohamad sambil menyindir.

Beliau berkata, memang itu sifat lumrah Dr Mahathir dan pengikut-pengikutnya.

"Mula-mula dia maki Soros dan tuduh Yahudi itu jatuhkan nilai ringgit, bila jumpa Soros dia kata Soros tak terlibat.

"Sekejap dia keluar Umno, lepas itu dia masuk pula. Jenis itu cakap dia tak boleh pakai," katanya.

Mohamad berkata, dakwaan Dr Mahathir kononnya undi kepada PR seperti undi kepada Soros dan penjajahan semula adalah sama bohong dengan tuduhan beliau bahawa Soros yang akibatkan krisis kewangan 1997/1998 itu.

"Kalau 1997/1998 dulu Dr Mahathir berbohong dan main hentam sahaja mengenai Soros, sekarang pun sama - bohong," kata beliau.

Bagi Mohamad, cakap Dr Mahathir hanya boleh dipercayai jika berkaitan kesetiaannya untuk mengkayakan anak-anaknya.

"Dr Mahathir hanya setia kepada skim untuk mengkayakan anak-anaknya. Dalam bab itu sahaja cakap Dr Mahathir boleh dipercayai," katanya.

Mohamad berkata, rekod PR membuktikan dengan jelas ia tidak boleh diperalatkan sesiapa pun.

"PR perintah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah. Tunjuk bukti jelas bahawa kerajaan-kerajaan tersebut dipengaruhi kepentingan asing.

"Setakat cakap seperti cakap tidak boleh pakai Dr Mahathir, tidak guna," katanya.

Apa yang jelas kepada semua rakyat, kata Mohamad, ialah kerajaan Umno Barisan Nasionallah yang menghabiskan puluhan juta wang rakyat untuk memohon petunjuk dari Yahudi Zionis Israel di dalam Apco Worldwide.
.

0 Komen pengunjong :