Sedarlah Hisham kata Bersih haram ramai ditahan

TEMERLOH: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Kuala Lumpur membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai pertubuhan haram sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan BN supaya tidak bertindak sesuka hati pada masa hadapan.
Ketika bercakap kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rakyat masih ingat bagaimana deklarasi Bersih sebagai haram tahun lepas oleh kerajaan BN telah disusuli dengan pelbagai tindakan drastik seperti merampas baju kuning, sekatan jalanraya dan tindakan menangkap mereka yang menyertai Bersih dan memakai baju kuning menjelang perhimpunan 9 Julai 2011 yang digelar sebagai Bersih 2.0.

“Tindakan membuat pengisytiharan yang bercanggah dengan undang-undang sekurang-kurangnya menjadi satu peringatan masa depan, dan seharusnya beliau (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) menyedari betapa ramainya peserta himpunan yang ditahan akibat pengisytiharan tersebut,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata walaupun keputusan mahkamah itu kini bersifat akademik kerana perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 telah berlalu, namun keputusan itu membawa erti yang amat besar kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sebuah sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam pada itu, jawatankuasa bertindak Bersih menyeru kerajaan BN untuk tidak merayu keputusan tersebut walaupun mengakui ia adalah hak untuk mereka melakukannya.

Mereka menyeru agar kerajaan BN menerima realiti politik tanah air dan bekerjasama dengan Bersih sebagai satu pertubuhan yang sah menuntut satu pilihan raya yang adil dan bebas atas pihak rakyat.

“Untuk kebaikan negara, kami secara ikhlas meminta mereka untuk tidak menfailkan rayuan dan menarik balik semua kes sivil terhadap kami kerana ia membazir duit rakyat,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa bertindak Bersih 2.0 mempunyai 14 anggota dan diketuai oleh Datuk Ambiga Sreevenasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Hishammuddin pula berkata kementeriannya akan berbincang dengan Peguam Negara untuk menentukan sama ada perlu menfailkan rayuan terhadap pembatalan deklarasi bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.

Bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pula meremehkan tuntutan untuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin untuk meminta maaf terhadap Bersih dan peserta perhimpunan aman itu dengan menyatakan bahawa ia adalah dalam bidang kuasa Hishammuddin untuk melabelkan Bersih sebagai haram.

Sebelum ini, Najib juga telah menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun.
.

0 Komen pengunjong :