Memang landskap politik Malaysia sudah berubah, Hisham !!!!!


Lagi-lagi kisah komunis ditabur menjadi bahan untuk kempen politik takut UMNO, lagi-lagi agenda Jemaah Islamiyah disebar menjadi bahan untuk jajaan politik kaum UMNO. Tak habis-habis.
Lepas isu Ketuanan Melayu, isu Raja Melayu, isu kristianisasi, kini ulang balik cerita mitos kuno UMNO itu. Wahai Hishammuddin anak Hussein, cucu Onn, ini lagu lama la. Rakyat kini tak sejahil seperti di awal zaman Mahathir Mohamad yang tiada telefon bimbit, tiada internet, tiada facebook.
Orang yang mendakwa terdapatnya unsur-unsur komunis dan JI dalam Pakatan Rakyat bukanlah orang yang sebarangan, yang mendakwa itu mempunyai kedudukan penting dalam Polis Diraja Malaysia, malah dari Cawangan Khas/Special Branch (SB).
Maka apabila Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengatakan UMNO dan Barisan Nasional sudah ketandusan idea dengan membangkitkan isu komunis dan JI, Hishammuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri menempelak menyatakan landskap politik sekarang sudah berbeza.

Warga dunia sudah tolak komunisme
Apakah Hishammuddin tidak sedar bahawa zaman ini tiada siapa yang perlukan komunis atau komunisme? Di negara China sendiri, walau pun pemerintahnya parti komunis yang tunggal, sistemnya sudah terbuka dengan pasaran kerana menyedari ideologi komunismenya tak membawa kemajuan kepada ekonomi dan sosial rakyat China.
Semua warga dunia sudah tahu keadaan ini. Kini China sedang mengorak langkah sebagai antara negara yang maju ekonominya setelah menerima sistem pasaran walau pun terus dipantau oleh kerajaan. Ekonominya sedang pesat membangun hingga menimbulkan kegerunan kuasa besar ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
Di Russia pula, parti komunis sudah lama dikuburkan oleh rakyatnya setelah menderita lebih 70 tahun. Kesatuan Soviet sudah lama runtuh. Kini pemimpin Russia mesti menghadapi pilihan raya bebas pelbagai parti kalau nak menang. Mana ada lagi monopoli satu parti di Russia.
Yang ada pun parti komunis, semuanya terpaksa bersaing dalam sistem demokrasi berparlimen. di merata dunia parti komunis hanyalah parti politik biasa yang terpaksa berhempas pulas memujuk pengundi menyokong mereka sewaktu pilihan raya.
Zaman di mana komunis mengangkat senjata sudah tidak ada lagi. Hanya warga emas tertentu sahaja di negara ini yang masih takut dengan bayang-bayang komunis, malah ada yang sengaja menggunakan momok komunis untuk bergayut di ranting kuasa yang semakin rapuh.

Logik tenat UMNO-BN
Jadi, bila kita lihat senario ini, di mana logiknya untuk DAP menjadikan komunis sebagai dorongan untuk berpolitik di Malaysia ketika ini? Bodohnya DAP kalau nak guna cara komunis untuk bergabung dengan PKR dan PAS dalam menentang Barisan Nasional. Malah DAP sendiri, sebagai parti demokrasi sosial, menolak komunisme.
PAS pula dituduh sudah dipengaruhi dengan jaringan JI atau teroris Muslim. Ini pun satu lagi lawak seram UMNO yang memperalat polis untuk tujuan politiknya. Mereka buat-buat bodoh tentang PAS yang selama ini memilih jalan demokrasi berparlimen dan tidak pernah cuba untuk mengambil alih kerajaan menggunakan kekerasan.
Sebenarnya UMNO-BN amat takut dengan Pakatan Rakyat, khususnya apabila melihat kebangkitan rakyat prihatin di dunia Arab yang telah menggugah pemerintah korup dan zalim di Mesir, Libya, Tunisia dan Syria. Tidak ada sama sekali peranan pengganas dalam kebangkitan Arab yang berasaskan demokrasi dan rasa cinta dengan Islam yang syumul dan sederhana.
Kebangkitan rakyat di Asia Barat itu tak ada pun unsur JI atau Al-Qaeda. Organisasi teroris itu tidak laku dan tidak diterima oleh masyarakat negara-negara Arab. Mereka lebih percaya kepada kuasa demokrasi rakyat untuk menumpaskan kerajaan yang korup. Dan akidah mereka tetap Islam yang bersifat inklusif, menerima sesiapa sahaja yang cintakan keadilan dan hak asasi manusia.
Bolehkah Hishammuddin tunjukkan atau buktikan apakah pernah organisasi JI berjaya membentuk kerajaan atau dengan kata lain ‘merampas kuasa politik’ mana-mana kerajaan di dunia ini atau sekurang-kurangnya di Asia Tenggara?
Ada? Jawabnya tak ada. Apakah wujud JI adalam PAS, dalam UMNO, dalam mana-mana parti majoriti orang Melayu? Setakat ini belum ada bukti, tapi UMNO-BN sudah buat tuduhan liar.
Justeru, apa logiknya PAS didakwa mahu bekerjasama dengan jaringan JI untuk berpolitik di Malaysia? Memang tidak berasas sama sekali tuduhan itu. Seperti kata Kit Siang, memang UMNO teramat terdesak untuk menang pilihanraya sehingga sanggup mencipta fitnah yang zalim itu.

Dunia sudah berubah, hanya minda pemimpin UMNO di takok lama
Jadi, kita memang sangat bersetuju dengan Hishammuddin bahawa ‘landskap politik telah berubah’. Jadi tak perlulah guna elemen busuk ini untuk tujuan politik menakut-nakutkan rakyat Malaysia.
Yang kita lawan adalah dasar yang korup. Cara melawan yang adil dan demokratik ialah dasar alternatif yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat. Tawaran ini tak memerlukan unsur-unsur keganasan atau sabotaj sepertimana amalan ideologi ekstrem yang ada.
Walaupun UMNO-BN masih mengongkong media, menyekat rapat umum, menghadkan masa ceramah, membiarkan samseng mengganggu majlis Pakatan serta kumpulan masyarakat madani, rakyat prihatin tetap tidak berputus asa. Yang penting, dasar dan cadangan alternatif perlu dikemukakan kepada rakyat yang selama ini ditutup ruang kebebasan oleh pemerintah UMNO-BN.
Pakatan Rakyat iaitu DAP, PAS dan PKR akan bertarung dengan UMNO-BN di arena politik secara gentleman. Yang kita mahukan dalam perlawanan ini ialah keadilan buat semua parti yang nak bertanding, bukan menipu menggunakan instrumen kerajaan dan guna duit cukai rakyat.
Sedarlah UMNO, rakyat semakin benci dengan politik fitnah dan adu domba ini. Cubalah berpolitik secara waras dan bijak. Apa salahnya? Bukankah landskap politik sudah berubah?

–/Roketkini.com
.

0 Komen pengunjong :