SHAH ALAM : Kegagalan kerajaan mencapai unjuran ekonomi dalam
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.0 – 5.5 peratus untuk 2011
dan 5 – 6 peratus pada 2012 jauh tersasar kerana kerajaan tidak
mengambil kira faktor-faktor ekonomi global ketika merancang unjuran
tersebut.
“Pakatan Rakyat telah mengingatkan Najib Razak sebagai Menteri
Kewangan supaya jangan membuat unjuran setinggi itu,kerana dalam tahun
lalu lagi.
“Kita telah bercakap bagaimana ekonomi dunia akan mengalami
penguncupan dan kelembapan ekonomi kerana krisis-krisis seperti Euro
Zone,krisis ekonomi Amerika dan China yang kini telahpun disebut akan
mengalami krisis,” kata Dr Dzulkefly ketika dihubungi TV Selangor.
Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata unjuran
ini tidak akan tercapai disebabkan negara yang berasaskan eksport
mengalami kesan lantaran pertumbuhan dan pemintaan yang berkurang
daripada negara-negara pengimport disebabkan kemeruduman ekonomi global.
“Permintaan global akan mengucup maka ekonomi negara akan mengalami impak itu.
“Kritik kami pada tahun lalu terbukti benar,kita sedar dalam keadaan
ekonomi yang lembab tetapi Najib Razak membuat unjuran ekonomi yang
tinggi itu hanya kerana untuk mewujudkan keadaan ‘Good Feel Factor’
kepada rakyat,” ujar Dr Dzulkefly.
Dr Dzulkefly berkata tindakan kerajaan melaksanakan projek-projek
bersaiz mega yang berjumlah berbilion ringgir hanya untuk menaikkan
unjuran ekonomi namun ianya tidak bersifat mapan dan baik kepada
pertumbuhan ekonomi.
“Dan jelas apa yang dipacu oleh ekonomi negara kita adalah apa yang
dipacu oleh satu permintaan domestik dan perbelanjaan besar kerajaan
dalam infrastruktur projek mega,” katanya.
Katanya, bagi memantapkan dan memacu ekonomi yang lebih mapan
sewajarnya kerajaan menumpukan kepada pembangunan ekonomi yang mempunyai
nilai tambah dalam pengeluaran sesuatu sumber ekonomi dan tidak hanya
mengharapkan kepada pengimportan sumber-sumber alam.
“Kita memerlukan pengurusan ekonomi yang cekap yang meletakkan
pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan jangan dibuat perbelanjaan
kerajaan yang tidak bersifat sustanaible dan juga pada akhirnya
perbelanjaan seperti ini tidak akan membawa kepada ekonomi berpendapatan
tinggi,”
Tambah Dr Dzulkefly,perbelanjaan yang besar dan kadar KDNK yang
tinggi tidak boleh ditafsirkan sudah mencapai ekonomi berpendapatan
tinggi.
“Negara berpendapatan tinggi hanya akan berlaku apabila industri dan
sektor pembuatan dan segala kegiatan ekonomi itu bersangkut kepada
ekonomi yang mempunyai nilai tambah.
“Seperti contohnya pembalakan sahaja,kita mesti mampu mengeluarkan
perabot-perabot dan bukan hanya kayu sahaja yang tidak mempunyai nilai
tambah ekonomi,”
Jelas Dr Dzulkefly,perbelanjaan boros dengan tidak meletakkan
perbelanjaan kepada keutamaan seperti projek-projek mega meletakkan
keadaan ekonomi dalam keadaan yang tidak menentu.
“Keutamaan yang sepatutnya diberi kerajaan adalah pembangunan yang
seimbang di seluruh negeri-negeri khususnya negeri miskin,” katanya.
Ujar Dr Dzulkefly,Pakatan Rakyat dalam pembangunan ekonomi bukan
sahaja untuk menaikkan kadar KDNK tetapi lebih kepada penumpuan kepada
pendapatan yang boleh belanja rakyat, pembahagian ekonomi yang adil dan
kecekapan ekonomi serta menghentikan monopoli ekonomi.
Sebelum ini,Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi
gesaan agar Belanjawan 2012 dibentangkan semula dan dibahaskan dalam
Parlimen pada sesi Jun ini.
Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi yang lembap pada kadar 4.7 peratus
dalam suku tahun pertama 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara
baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara.
Ini adalah kali kedua pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal
untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012.
.
0 Komen pengunjong :