TERAS
Pengupayaan Melayu (Teras) merumuskan jalan untuk membawa perubahan di
Putrajaya berliku tetapi tidak mustahil asalkan semua pencinta keadilan
dan kebenaran bergabung tanpa sebarang niat lain melainkan untuk
membangun masyarakat dan Negara yang berasaskan keredhaan Allah.
Menjadi suatu keanihan jika seorang Muslim tidak beriman kepada
ketetapan Allah bahawa Allah memberi kuasa kepada siapa yang Ia
kehendakki dan merampas kuasa dari siapa yang Ia kehendaki.
Namun semua ketetapan juga akan menuntut kepada syarat hatta untuk memenangkan agama Allah sekalipun.
Benar peringatan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang dalam amanatnya di Himpunan Hijau ke Putrajaya semalam.
Pra syarat utama adalah mengukuhkan hubungan dengan Allah.
Dengan penuh kesedaran bahawa segalanya akan ditentukan oleh Allah
S.W.T. Bagi setiap pejuang agamaNya yang mengguna medan politik
berdasarkan sokongan rakyat, syarat hati yang ikhlas kepada Allah akan
mampu memenangi hati rakyat yang mahukan kemenangan Islam.
Adapun persoalan strategi dan taktik, Teras berpandangan sememangnya
pertolongan Allah memerlukan persiapan dan kesungguhan dalam perjuangan.
Inilah intisari dari tuntutan Allah agar kaum Muslimin mempersiapkan
diri dengan kekuatan apa sahaja bila berhadapan dengan musuh.
Teras mengira bahawa hampir 100,000 orang dari seluruh pelosok negara
yang membanjiri Pehimpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Alor Star
Kedah semalam adalah digerakkan oleh hati-hati yang jernih untuk
matlamat memenangkan Islam.
Tidak ada upah dan elaun, tidak ada kemudahan kenderaaan, tidak ada
saguhati, tidak ada kemudahan penginapan, tidak ada kerahan agensi
kerajaan untuk memenuhi stadium itu.
Menggagahi hujan yang lebat pada petangnya, berhimpit-himpit dipadang
dan tangga stadium sehingga tidak ada ruang sedikitpun untuk bergerak,
tekun dan sabar serta bersemangat untuk solat berjamaah bersama pemimpin
mereka, tekun mendengar ucapan sejumlah pemimpin dan penyokong
kebenaran, menumpu perhatian kepada doa Mursyidul Am mereka semua ini
adalah ciri ke arah menyiapkan syarat kemenangan yang perlu dikekal dan
dijadikan gelombang.
Inilah perbezaan dengan mereka yang berhimpun dengan cara pacingan
wang, kemudahan pengangkutan yang ditanggung semua, acara hiburan yang
mengelorakan nafsu, elaun poket yang dibayar tunai, peruntukan wang
kerajaan yang dibelanja tetapi berselindung disebalik justifikasi
program agensi kerajaan.
Perbezaan inilah yang menggerunkan pihak yang melihat PRU 13 sebagai “Ibu segala Pilihanraya”.
Kami berpendapat bahawa sementara sangat sukar untuk memperolehi
kemenangan dalam kepungan sebuah sistem yang sudah dirangka sehingga
tidak membenarkan ruang yang samarata untuk berhujah dan bersaing dalam
ruang demokrasi yang adil, namun tidak mustahil tsunami bakal berulang
lagi.
Semangat dari kecintaaan kepada kebenaran Islam yang jitu walaupun
dalam sekatan yang dianggap maha mencabar inilah yang akan menentukan
kemenangan hakiki. Ia perkara kecil jika Allah sudah memutuskan bahawa
bila kebenaran tiba , kebatilan pasti akan hancur.
Antara harapan dan yakin kepada Allah dan kerja keras inilah yang
akan menjadikan perjuangan ini dirasai nikmatnya. Bagi mereka yang
berpandangan dan beranggapan para pejuang Islam itu akan lelah dan
kecewa sebenarnya akan jauh lebih kecewa kerana perjuangan Islam tidak
pernah mati. Diperlaku sezalim mana sekalipun nafas perjuangan Islam
tetap terus disambung.
Ikhwan Muslimin di Mesir sudah melalui babak yang jauh lebih pahit.
Kini ruang terbuka dan dengan penuh istiqamah mereka meniti kemenangan
sedikit demi sedikit dan selangkah demi selangkah.
Kami menyeru agar rakyat bersiap menempa zaman dan sejarah baru
dengan gagah dan penuh bermaruah. Saatnya Putrajaya berada di tangan
rakyat sudah tiba.
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Teras.
.
0 Komen pengunjong :