Boleh disunting, PAS tolak manifesto rakaman

NONEPenyiaran manifesto secara rakaman di saluran nasional Radio Televisyen Malaysia (RTM) semasa pilihan raya umum tidak boleh diterima kerana ia terdedah kepada suntingan yang boleh menjejaskan mesej sebenar parti politik, kata PAS.

"Pemimpin politik kalau nak menyampaikan sesuatu sekarang pun kita tahu (kenyataan) dia (akan) (di)potong-potong.

"Ia boleh diedit, tak original, dan tak menyampaikan hasrat yang ingin disampaikan," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau mengulas pengumuman bahawa parti politik hanya dibenar menyampai mesej di RTM secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam dilaporkan berkata, ketetapan itu bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Menurut Mustafa, pengumuman Aziz tersasar jauh daripada permintaan pimpinan Pakatan Rakyat dan BERSIH yang menuntut akses media yang adil untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Kata Mustafa lagi, SPR dan RTM perlu memberikan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin politik untuk untuk menjelaskan manifesto mereka secara langsung dengan berhemah di saluran RTM.

Ini kerana, katanya, ahli-ahli politik pastinya sedar bahawa apa-apa sahaja yang mereka ucapkan di saluran RTM akan dinilai oleh rakyat Malaysia yang menontonnya.

"Kenalah beri kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin politik. Mereka semua bertanggungjawab (kerana) kalau mereka sebut sesuatu yang tidak baik, rakyat boleh menilai," katanya.
.

0 Komen pengunjong :