SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyarankan agar Pemuda
MIC mendapatkan khidmat pakar bahasa Melayu untuk memahami apa yang
dimaksudkan beliau ketika Debat Sinar Harian bertajuk Demonstrasi
Jalanan: Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi’, Selasa lalu.
Salahuddin berkata, apa yang dimaksudkannya menyentuh Artikel 10
Perlembagaan Persekutuan yang langsung tidak menyentuh atau menyamakan
perarakan Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.
“Saya sentiasa peka dengan komen di blog-blog dan majoriti masyarakat India menyokong saya. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
“Nasihat saya kepada Pemuda MIC, sila cari pakar dan guru bahasa Melayu
untuk faham apa yang saya perkatakan," kata beliau ketika ditemui di
Skudai semalam.
"Sebahagian mereka (kaum India) faham, hanya sebahagian kecil yang
tidak faham dan jadikan ia sebagai satu isu politik murahan,” katanya
kepada Sinar Harian.
Kelmarin, Pemuda MIC meminta Salahuddin memohon maaf kepada masyarakat
India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan menyamakan perarakan
sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.
Ketua Pemudanya, T Mohan meminta Salahuddin berbuat demikian dalam tempoh 24 jam.
"Salahuddin harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan tersebut," katanya.
Satu laporan polis terhadap Salahuddin turut dibuat mendakwa beliau
mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan berbaur hasutan.
Salahuddin berkata, dalam ucapannya itu, beliau tidak berniat untuk
menghina mana-mana agama dan mereka perlu dengar serta faham konteks
ayat yang diperdebatkan dalam debat.
"Saya nasihatkan supaya pihak-pihak yang tak faham tentang ucapan itu
mendapatkan khidmat guru Pakar Bahasa Melayu untuk fahamkan konteks ayat
tersebut.
"Ucapan saya juga bukan bertujuan untuk hina mana-mana agama yang
dianuti orang lain tapi beri contoh perhimpunan seperti terkandung dalam
artikel 10 Perlembagaan," kata ketika dihubungi.
Menurutnya lagi, kemungkinan ada pihak yang ingin jadikan isu ini
sebagai mainan politik dan mengambil kesempatan terhadap kesalah
tafsiran ucapannya itu.
Salahuddin berkata, beliau menafikan dakwaan Mohan kerana berdasarkan
agama Islam yang dipegangnya melarang perbuatan menghina agama lain.
"Seorang Islam, amat dilarang untuk menghina agama lain. Saya tak
mungkin lakukan perkara demikian secara sengaja," katanya lagi.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, beliau
tidak menghina agama lain dan menyarankan pihak tersebut mengikuti
pendebatan itu secara keseluruhan untuk memahami konteks yang
dimaksudkan dalam pendebatannya bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno,
Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
.
0 Komen pengunjong :