Suhakam dipinggir, Najib terus dolak-dalik

PETALING JAYA : Kuman di seberang laut, Najib nampak; gajah di depan mata, dia pura-pura rabun.
Itulah sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menubuhkan sebuah panel baru bagi siasatan terhadap salah guna kuasa polis semasa perhimpunan aman Bersih 3.0 sedangkan Malaysia sudah mempunyai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, Najib perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum mendakwa perhimpunan Bersih telah melanggar “prinsip dan semangat Akta Perhimpunan Aman.”
“Perdana Menteri gagal untuk memahami dan menghayati prinsip dan semangat akta tersebut yang membenarkan ruang demokratik yang lebih besar untuk bersuara dan behimpun rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, laporan Bernama memetik Najib sebagai berkata beliau sedang mencari “orang yang sesuai” bagi menjadi sebahagian dari panel penyiasat.
Menurut Pua, kerajaan telah pun membentuk Suhakam di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang antara peranannya bertanggungjawab terhadap sebarang siasatan aduan mengenai perlanggaran hak asasi manusia.
Katanya, Seksyen 4(2) Akta Suhakam juga mempunyai kuasa untuk ‘menasihati kerajaan dan atau pihak berkuasa berkenaan’ bagi aduan terhadap mereka dan untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil.
“Buat masa ini, Suruhanjaya tersebut diketuai oleh Tan Sri Hasmy Agam. Pesuruhjaya yang lain termasuk Professor Dr. Khaw Lake Tee, Encik Mohd Sha’ani Abdullah, Professor Datuk Dr Mahmud Zuhdi Majid and Encik James Nagayam,” tambah beliau.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, semua Pesuruhjaya itu telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk mempertahankan hak asasi manusia di negara ini.
“Jadi, kenapa SUHAKAM dipinggirkan apabila siasatan melibatkan pencabulan hak asasi manusia secara terang-terangan oleh pasukan polis?
“Apakah Pesuruhjaya Suhakam yang ada ini tidak bagus? Atau kabinet sendiri risau Suhakam akan menemui perkara-perkara yang akan menjejaskan pasukan polis dan kerajaan dan sebab itu, Najib cuba membentuk panel baru yang akan lebih ‘bersimpati’ terhadap kerajaan?
“Kita menyeru Perdana Menteri untuk berhenti mengheret dirinya sendiri di atas tindakan keterlaluan dan keganasan polis terhadap wartawan dan rakyat biasa semasa perhimpunan Bersih,” ujarnya.
Beliau kesal kerana kerajaan UMNO-BN telah membiarkan polis memukul dan mencederakan ramai rakyat Malaysia tanpa sebab yang jelas, termasuk wartawan The Sun, Radzi Razak, yang mengalami patah tulang pipi dan rusuk akibat dibelasah polis
“Kabinet perlu secepat mungkin melantik Suhakam sebagai panel siasatan bebas untuk menyelesaikan kontroversi ini secepat mungkin,” ujarnya, menambah bahawa Najib tidak perlu membuang masa dan wang rakyat untuk menubuhkan panel yang baru.
Pua berkata, kerajaan UMNO-BN perlu membuka mata bahawa punca utama kekecauan sewaktu perhimpunan aman Bersih 3.0 bermula apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak dipilih oleh rakyat telah menolak permohonan Bersih untuk menggunakan Dataran Merdeka.
“Perdana Menteri sekali lagi cuba mengelak tuduhan kekacauan yang dibuat oleh polis semasa perhimpunan Bersih berlaku akibat keputusan jawatankuasa Bersih yang menolak penggunaan Stadium Merdeka sebagai tempat alternatif.
“Hakikatnya, lokasi tersebut ditawarkan pada saat-saat akhir sebelum perhimpunan bermula, ia bukanlah satu sebab munasabah yang diberi oleh DBKL atas penolakan untuk menggunakan Stadium Merdeka,” tambah beliau.
Dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu, Najib dan beberapa menterinya juga menngunakan  taktik yang sama dengan menawarkan stadium tetapi kemudian ditolak oleh pihak berkuasa di saat-saat akhir.
Menurut Pua, disebabkan penolakan tanpa alasan yang munasabah, peserta perhimpunan terpaksa berhimpun di jalanan manakala pasukan polis pula dikerahkan untuk mengawal Dataran Merdeka.
“Ia merupakan satu tindakan mengarut dan ironi apabila perhimpunan Bersih seolah-olah dibenarkan di jalanan tetapi tidak dibenarkan berlangsung di atas padang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Najib telah melakukan kesilapan menafikan hak Bersih untuk berhimpun di Stadium Merdeka semasa Bersih 2.0 Julai tahun lepas yang menyaksikan kekacauan di jalanan di mana pihak polis memerangkap peserta himpunan malah menyerang mereka di Hospital Tung Shin menggunakan semburan air dan gas pemedih mata.
“Beliau sekali lagi melakukan kesilapan yang sama dengan menafikan permohonan himpunan ‘duduk-bantah’ Bersih di Dataran Merdeka yang mengakibatkan  berlakunya keganasan yang tidak wajar sama ada dari pihak polis, media mahu pun peserta Bersih.
“Tindakan dan penafian beliau membuktikan bahawa ‘program transformasi politik’ telah gagal sepenuhnya dan bersifat kosmetik yang semata-mata bertujuan untuk menaikkan imejnya di mata masyarakat,” ujarnya.

Sumber – Roketkini.com
.

0 Komen pengunjong :