PUTRAJAYA: Mahkamah
Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas
keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan
membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Abd Samad.
Pada 21 November lalu Hakim Prasad Sandhosham Abraham
telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan Utusan Malaysia
bertarikh 10 September 2009 bertajuk 'ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ”
adalah memfitnah ke atas Khalid Samad.
Antara lain artikel tersebut menulis:
'Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas
individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit
ayat-ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen
23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan
itu.
Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di
Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di
kawasan kediaman mereka.
“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,'katanya.'
Mahkamah
memutuskan perkataan “Pak Janggut” di artikel tersebut adalah merujuk
kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan, Khalid
ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya mereka
berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu penempatan
semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.
Utusan
telah memfailkan rayuan ke atas keputusan hakim tersebut di mana rayuan
tersebut telah didengar pada pagi ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Pada
prosiding pagi ini Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul
yang difailkan oleh Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas
alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal
mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan
rayuan mereka.
Ketika membacakan keputusannya pagi tadi Hakim
Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menyatakan bahawa beliau, Hakim Datuk
Azhar Haji Ma’ah dan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail iaitu panel hakim
yang mendengar rayuan tersebut sebulat surat menolak rayuan Utusan
kerana kecacatan rayuan tersebut.
Mahkamah menyatakan rayuan
tersebut adalah bercanggah dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah
Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang
dari RM 250,000-00 wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.
Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad.
Khalid
Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed
Hanipa & Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar
dari Tetuan Shafiee Mohan.
0 Komen pengunjong :