SHAH
ALAM: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan
kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan
Bersih 3.0 untuk menggulingkan kerajaan adalah tidak tepat.
Malah Mursyidul Am PAS itu mempersoalkan pula sejauh mana kebenaran
disebalik kenyataan Najib bahawa kerajaan yang dipilih adalah sah
mengikut sistem yang telus dan adil.
“Bila timbul masalah Bersih di sebut ketua kerajaan yang pergi
Kelantan kelmarin, Bersih ini nak guling kerajaan yang sah. Sah sungguh
ke kerajaan ini?” soalnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis malam pemimpin Pakatan Rakyat di I-City malam tadi.
Kelmarin Najib dilaporkan berkata, bahawa perhimpunan Bersih di
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April lalu adalah satu percubaan
untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem
demokrasi.
Najib berkata tindakan itu menunjukkan pihak terlibat tidak
menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.
“Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk
dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak
gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan
Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir.” ujar Najib.
Kepincangan perlu diperbetulkan
Walau bagaimanapun, Nik Aziz berkata masih terdapat kepincangan yang
perlu diperbetulkan kerajaan berhubung prosedur pilihan raya yang ada
di negara ini.
Ini membabitkan pengundi hantu yang masih belum dapat dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Datuk Presiden PAS sebut berkali-kali mengenai undi luar yang di
bawa masuk ke Terengganu tapi Umno tak boleh cabar. Bila undi luar
masuk dalam pilihan raya umum ke-12 di Terengganu, (jadi) pilihan raya
itu tak sah.
“Kamu (kerajaan) kata sah tapi akhirat kelak kebanyakkan wakil rakyat
Umno yang menang di Terengganu akan masuk neraka kerana menang
menggunakan undi hantu,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw,
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli
Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan adalah untuk mengutip
dana bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum
akan datang.
.
0 Komen pengunjong :