Panel bebas: Baik lantik AJK cawangan Umno sahaja


KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat Idris Ahmad berpendapat, lebih baik panel bebas Bersih 3.0 yang dicadang kerajaan dipilih daripada ahli Umno sahaja supaya ianya menyebelahi pihak BN dan polis.

Menurutnya, tiada guna jika panel bebas membuat keputusan tidak menyebelahi BN dan polis kerana ia hanya akan dibakul sampah sahaja oleh kerajaan.

Katanya, berapa banyak pandangan ketiga mengenai keganasan polis dalam setiap perhimpunan tidak diambil peduli.

Ianya termasuk pendengaran awam yang dibuat oleh Suhakam ketika Bersih 2.0 yang juga tidak pernah diambil peduli oleh kerajaan.

Selain itu, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam juga ujarnya telah menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya digunakan terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media.

"Pada hal Suhakam ialah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan, ia bukan Lembaga Disiplin Parti Islam Semalaysia PAS.

"Jika badan seperti Suhakam pun Datuk Seri Najib tidak mahu dengar, lebih baik lantik Jawatankuasa yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) yang terdiri daripada AJK Cawangan Umno sahaja supaya keputusan sentiasa menyebelahi pihak BN dan polis," kata Idris lagi.

Sehubungan itu katanya, pengumuman Najib untuk menubuhkan panel bebas menyiasat Bersih 3.0 hanya untuk menyejukkan kemarahan rakyat kepada polis dan kerajaan.

Pihak polis dan Najib sekarang ini ujarnya susah hati kerana kali ini mereka guna kekerasan kepada pihak media, sedangkan wartawan tidak boleh dizalimi walaupun di dalam peperangan.
"Apakah jaminan kerajaan akan menerima cadangan Penal Bebas jika keputusan tidak menyebelahi pihak polis dan BN.

"Berapa banyak wang dan tenaga dihabiskan oleh ahli panel, apabila keputusan dikeluarkan kerajaan tidak ikut," katanya.
.

0 Komen pengunjong :