Mereka yang bantah depan rumah Ambiga adalah ‘pondan’.


BAHAU: Seorang pemimpin DAP menggelar mereka yang mengadakan bantahan di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Dato’ S Ambiga sebagai ‘pondan’ atau bacul.
Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, P Gunasekaran berkata demikian di hadapan lebih 2,000 hadirin pada Ceramah Perdana anjuran DAP di sini malam tadi.
“Mereka membantah di hadapan rumah seorang wanita yang hanya memperjuangkan keadilan dan tuntutan pilihan raya yang bersih. Beliau seorang wanita dan kamu merupakan seorang lelaki.
“Mengapa ganggu beliau dengan mengadakan bantahan, menjual burger dan melakukan senaman punggung. Tidak malukah kamu melakukan sedemikian kepada seorang wanita. Kamu pondan!” kata Gunasekaran dengan lantang dan disambut dengan sorakan gamat orang ramai.
Gunasekaran yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang berkata jika sekiranya mereka tidak puas hati dengan Ambiga mereka mempunyai banyak saluran dan ruang termasuk memfailkan kes di mahkamah serta menyatakan pendirian mereka melalui media.
“Tindakan menunjukkan ‘kehebatan’ di hadapan kediaman seorang wanita berusia 55 tahun adalah satu tindakan yang rendah moralnya dan amat bacul,” ulas Gunasekaran.
“Sapu Malaysia”

Adun Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani pula membuatkan orang ramai ketawa besar apabila berkata bahawa slogan 1Malaysia sudah tidak boleh di pakai lagi.
“Pemimpin Umno sering menimbulkan isu untuk memecahkan perpaduan orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India.
“Dengan orang Melayu pemimpin Umno berkata bahawa hak orang Melayu harus dipertahankan dan tidak boleh biarkan orang Cina dan India menuntut hak yang berlebihan.
“Walaubagaimanapun di hadapan orang Cina dan India mereka kata 1Malaysia. 1Malaysia sudah tidak ada lagi tetapi “Sapu Malaysia”!
“Dia sapu kiri, sapu kanan, sapu duit NFC, sapu duit Petronas, sapu duit rakyat. Inilah dia “Sapu Malaysia,” ujar Mohd Taufek.
Mohd Taufek yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan menjadi ‘hit” di kalangan hadirin yang sebahagian besarnya adalah masyarakat Cina apabila membangkitkan isu permohonan sekolah aliran Cina di Kuantan.
“Minggu lepas lebih 5,000 anggota masyarakat Cina berkumpul di Kuantan menuntut sebuah sekolah aliran Cina. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh meluluskannya.
“Kerajaan boleh meluluskan Lynas (pembinaan loji nadir bumi di Gebeng) tetapi sekolah Cina tidak boleh lulus. Benda yang ada risiko bahaya kepada manusia kamu luluskan tetapi soal pendidikan rakyat kamu tidak boleh luluskan.
“Umno ada otak ke tak?, tanya Mohd Taufek dan dewan terbuka sekali lagi menjadi gamat dengan sorakan orang ramai yang hadir.
Mohd Taufek turut menambah, “kalau kamu (kerajaan Barisan Nasional (BN)) tidak boleh luluskan pembinaan sekolah Cina serahkan kerajaan kepada Pakatan Rakyat.
“Kita (Pakatan Rakyat) boleh bagi kelulusan. Pakatan Rakyat memperjuangkan hak semua kaum dan menjamin pendidikan untuk semua kaum.
Najib serba salah
Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan John Fernandez pula memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kini berada di dalam keadaan serba salah untuk membubarkan parlimen.
“Beliau menghadapi tekanan yang cukup hebat di dalam Umno sendiri. Terdapat empat kumpulan di dalam Umno iaitu kem Muhyiddin; bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Najib sendiri.
“Seandainya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, Umno-BN hanya mampu mencapai kemenangan tipis atau gagal menang kerusi parlimen dengan majoriti dua per tiga, Najib akan disingkirkan oleh pemimpin Umno sendiri.
“Ini yang merungsingkan beliau dan masih tidak mahu membubarkan parlimen. Cuma saya ingin beritahu di sini bahawa bila pun Najib bubarkan parlimen dan PRU diadakan, Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk mengambil alih Putrajaya,” ulas John yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban.
Turut hadir dan menyampaikan ceramah ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook.

0 Komen pengunjong :