KUALA
LUMPUR, 28 MEI: Menyedari nasib kaum India di Malaysia terus
dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-BN, kumpulan Malaysian Indian Voice
(MIV) dan jawatankuasa bersama Barisan Bertindak Hak Kaum India (INDRAF
2.0) secara terbuka menyuarakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.
Satu majlis rapat rakyat telah diadakan di Brickfields di sini
semalam untuk menyatakan pendirian kaum India dalam menghadapi pilihan
raya umum ke-13 akan datang.
Menurut pengerusi MIV, V.Raidu, ia akan bekerja keras untuk menukar
kerajaan di peringkat Putrajaya supaya kerajaan baru Pakatan Rakyat
dapat membela nasib kaum India yang telah lama dipinggirkan kerajaan
UMNO-BN yang tidak bertanggungjawab.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan mutu hidup masyarakat miskin
India dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya termasuk dalam
sektor kerajaan mau pun swasta,” katanya.
Antara tuntutan NGO ini ialah isu pendidikan, hak kewarganegaraan,
kad pengenalan, sosial dan ekonomi masyarakat India di samping menggesa
kerajaan memupuk dan meningkatkan perhubungan antara kaum dengan
menggubal Akta Hubungan Antara kaum dan Akta Perlindungan Minoriti.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang hadir pada majlis semalam
berkata, kehadiran ribuan masyarakat India merupakan satu sejarah dalam
menuntut perubahan demi generasi kini dan akan datang.
“Sejak 54 tahun di bawah UMNO-MCA-MIC, adakah kita dapat faedah? Yang
paling beruntung adalah ‘UMNOputra, MCAputra dan MICputra…” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk kaum India supaya
menyokong tuntutan BERSIH 2.0 dan 3.0 yang menuntut agar politik kotor
dihentikan serta-merta.
“Kita mahu satu mesyuarat diadakan dengan semua parti-parti politik
untuk hentikan politik kotor. Kita juga mahu jaminan dari BN sekiranya
mereka kalah, mereka dapat menerima kekalahan tersebut dengan baik dan
menyerahkan kuasa secara aman,” tambah beliau.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula menyeru seluruh rakyat
Malaysia agar menolak UMNO-BN kerana mereka sering memainkan isu
perkauman untuk memecahbelahkan kesatuan rakyat semata-mata untuk
menang pilihan raya.
“Isu perkauman ditaja sendiri oleh pemerintah dan mereka inilah
pemerintah yang ‘dajal’ dan tidak berwibawa….” katanya disambut dengan
tepukan gemuruh hadirin.
“Sepatutnya kerajaan mainkan peranan untuk satukan rakyat, bukan
pecahbelahkan,” ujarnya lagi, menambah bahawa beliau tidak akan
berganjak bagi merubah politik Malaysia yang semakin kotor dengan
politik perkauman.
Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, semua rakyat perlu
menerima hakikat bahawa semua kaum harus dihormati dan dimuliakan.
“Percayalah dengan pendirian Pakatan Rakyat. Ini bukan masalah orang
India sahaja, ini masalah kita semua. Ini masalah negara,” ujarnya.
Katanya, orang Melayu tidak akan rugi malah akan lebih dihormati kalau pemimpin menunjukkan sikap yang adil.
“UMNO tidak berhak untuk menafikan hak rakyat negara ini. Kerajaan
UMNO-BN gagal untuk melindungi rakyatnya sendiri,” ujarnya lagi.
Majlis INDRAF 2.0 berlangsung dengan aman dan berjaya menarik ribuan hadirin.
Antara wakil dan pimpinan NGO serta parti politik yang hadir serta
memberi ucapan ialah bekas pemimpin UMNO Tamrin Ghaffar dan Datuk Mazlan
Haron mewakili Amanah Merdeka; Datuk Thasleem Mohamed mewakili Badan
Hak Asasi Kaum India (NIAT) serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr. P.Ramasamy, Ahli
Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, EXCO Selangor Ronnie Liew, Ahli
Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan ramai lagi.
/– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :