Di Hari Jadi Altantuya, Najib terus dibayangi pembunuhannya


KUALA LUMPUR 6 Mei: Jika Altantuya masih hidup, hari ini genap 33 tahun usia wanita itu yang ditemui mati dibunuh dengan kejam di sebuah hutan di Puncak Alam, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Altantuya dilahirkan pada 6 Mei 1978, anak kepada Shaaribu Setev-seorang profesor psikologi dan ibunya, Sh Altantsetseg.
Dibesarkan di St Petersburg Rusia sehingga 12 tahun, beliau mendapat pendidikan di Beijing China dan fasih berbahasa Mongolia, Inggeris, Rusia Mandarin dan Perancis.
Pembunuhan kejam wanita cantik itu, menggemparkan negara apabila mayatnya diletupkan dengan bom C4, yang hanya boleh diperoleh dari kementerian pertahanan.
Tiga didakwa di mahkamah iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari Unit Tindakan Khas. Manakala seorang lagi, Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dituduh bersubahat.
Bagaimanapun, Azilah dan Sirul dijatuhi hukuman mati 9 April 2009, manakala Razak dibebaskan oleh mahkamah tinggi pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.
Razak Baginda, yang juga merupakan seorang penganalisis politik, dikatakan mempunyai hubungan intim dengan Altantuya.
Beliau merupakan seorang broker dalam pembelian kapal selam Scorpene, oleh Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi syarikatnya, Perimekar Sdn Bhd yang memperoleh komisyen lebih RM500 juta.
Dari situ kes pembunuhan kejam ini mengheret nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada masa itu menteri pertahanan.
Pada 3 Julai 2009, seorang penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam, bekas anggota polis cawangan khas dan pernah bertugas dengan Abdul Razak, membuat pendedahan mengaitkan Najib dalam kes itu.
Beliau membuat sidang media mengumumkan akuan bersumpah yang dirangka bersama peguamnya, Americk Singh Sidhu sebelum menukar akuan bersumpahnya sehari selepas itu.
Pada Mac lalu, Hakim dalam kes pembunuhan kejam itu tidak menyentuh secara langsung mengenai motif pembunuhan yang dilakukan dua anggota polis tersebut dalam penghakiman penuh beliau.
Ia menimbulkan persoalan di kalangan rakyat dan pemerhati politik.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu mendakwa siasatan ke atas pembelian  Scorpene yang dibangkitkan di mahkamah Perancis pada masa ini, akan membongkar semula kes pembunuhan wanita berkenaan.
Mahkamah Perancis kini membuka siasatan ke atas skandal Scorpene yang dibeli dari syarikat pertahanan lautnya, DCNS, selepas menerima aduan NGO hak asasi di Malaysia, Suaram.
Mengulas mengenai misteri pembunuhan Altantuya, Pimpinan KEADILAN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shahrin berkata, kes itu akan terus membayangi  pentadbiran Najib Razak.
Ia katanya, merupakan satu kes  paling aneh di dunia, apabila mahkamah tidak memutuskan motif pembunuhan.
“Ini kes penting melibatkan wang rakyat di mana penglibatan tokoh besar dalam negara dan berkaitan rasuah.
“Rakyat khasnya anak muda  mahu tahu misteri di sebalik kematian wanita ini. Jika beliau masih hidup, usianya kini ialah 33 tahun,” katanya yangpernah menghasilkan buku bertajuk ‘Di Sebalik Pembunuhan Altantuya’.
Badrul berkata, jika kes itu dirungkai semula, ia akan mendedahkan lebih banyak kes-kes yang berkaitan dengan skandal melibatkan Najib Razak.
.

1 comment :