KUALA LUMPUR — Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
dikuasai Umno jelas berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup
memainkan sentimen perkauman dan fitnah jahat terhadap Pakatan Rakyat
(PR), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan pimpinan Umno
ghairah untuk meraih undi sehingga mencipta fitnah yang menggambarkan
seolah-oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang mempunyai niat halus untuk
mengusir masyarakat Melayu dari Pulau Mutiara tersebut.
“Keghairan BN dan Umno mahu mendapat undi Melayu telah menyebabkan
mereka berkali-kali memainkan sentimen perkauman dengan fitnah jahat
bahawa kerajaan negeri PR mahu meminggirkan atau mengusir Melayu,” kata
Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Lim, mesyuarat exco kerajaan yang bermesyuarat hari ini turut
menolak keras cubaan menggunakan sentimen tersebut dan menyifatkannya
sebagai “akan menjejaskan hubungan baik dan harmoni di kalangan rakyat
majmuk Malaysia”.
“Umno mempunyai agenda dengan menyebarkan fitnah mengatakan kerajaan
negeri mempunyai agenda tersembunyi dan dikatakan mengusir keluar orang
Melayu daripada Pulau Pinang dengan penduduk Melayu Pulau Pinang
berkurangan sebanyak 18,000 orang dalam tahun 2010 dan tidak menjalankan
projek perumahan mampu milik.
“Berdasarkan daftar pemilih pada 2011 menunjukkan tambahan pengundi
Melayu sebanyak 34,931 orang berbanding dengan pilihanraya umum pada
2008,” tegasnya.
Selain itu, Lim menambah, sejak mengambil alih Pulau Pinang pada
2008, kerajaan pimpinannya telah membina 11,596 rumah kos rendah dan
sederhana rendah termasuk projek dengan pemaju swasta.
Selain itu, kerajaan DAP juga tambahnya telah memperuntukkan 277 ekar
tanah untuk membina 18,000 unit rumah mampu milik di semua lima daerah
di Pulau Pinang, termasuk Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah,
Seberang Perai Utara, Daerah Timur Laut, dan Daerah Barat Daya bagi
membolehkan masyarakat Melayu memiliki rumah.
Menjelaskan mengenai kadar kenaikan harga tanah yang didakwa berpunca
daripada kadar premium yang dikenakan DAP di Pulau Pinang, Lim
menegaskan, “Sesebuah kerajaan tidak boleh mempengaruhi harga hartanah
naik atau turun kerana ia ditentukan oleh permintaan pasaran dan
keyakinan orang ramai.”
“Kerajaan negeri tidak pernah menaikkan peratusan kadar premium
tanah, sebaliknya ia masih dikekalkan pada tahap kadar peratusan yang
sama dengan kerajaan lama,” tambahnya lagi.
Senjata terakhir UMNO tu memang semua rakyat tahu sekarang. Tapi senjata yang depa guna tu dah makan tuan pula sebab dah terlalu lama senjata tu digunakan. UMNO jadi pening kepala sekarang dan dah nampak tak tau nak buat apa.
ReplyDelete