Belum bersih lagi.......



Bukan mudah untuk mengungkap apa yang terjadi di ibu kota pada Sabtu 28 April lalu. Ada terlalu banyak sisi yang perlu diceritakan, dan ada terlalu banyak pengalaman yang memerlukan penceritaan. Maka tidak bijak untuk habiskan masa yang berbaki untuk berkongsi kisah-kisah perang itu, mudahnya kerana kita tidak punya banyak masa.
Kita harus terus bertanya soalan yang jauh lebih penting berbanding, “Kau kena tear gas?”
Jadi apa sebenarnya soalan yang penting? Ya benar, ada banyak soalan yang sedang beredar dari mulut, dari dada akhbar dan dari konferensi media sosial. Semuanya giat bertanyakan soalan terkait perhimpunan rakyat menuntut perubahan Sabtu lalu di jalanan ibu kota. Bukan mudah juga untuk menjawab soalan-soalan yang banyak ini. Tambahan kerana soalan-soalan mereka ini juga bukan soalan mudah.
Sabtu 28 April lalu tidak akan masuk ke dalam buku teks sejarah sekolah-sekolah Malaysia selagi mana United Malays National Organisation kekal beraja di Putrajaya. Sama seperti dua instalasi awalnya. Sudah kali ketiga rakyat turun ke jalan raya menuntut perubahan dan pembersihan segala penipuan dalam sistem pilihanraya. Kali ketiga juga mereka disambut pihak keselamatan dengan belaian manja sepak terajang dan hidangan air asid serta gas pemedih mata. Kita ucap terima kasih untuk itu.

Tiga kali berdepan regim zalim
Kali pertama rakyat berhimpun dengan berpakaian kuning, Barisan Nasional kemudiannya hilang majoriti dua pertiga Dewan Rakyat, di samping kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor yang telah ia

perintah sekian lama.


Kali kedua rakyat berhimpun, Barisan Nasional kononnya telah bersedia. Kononnya telah mengambil langkah berjaga-jaga. Pihak polis dan media dikerah supaya menyerang perhimpunan tersebut sehabis hebat. Dan akhirnya berikutan daripada itu, Perdana Menteri Najib Razak menerima tamparan hebat dan akhirnya akur kepada kehendak reformasi pilihanraya dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahbaikan pilihanraya.
Kali ketiga rakyat mahu berhimpun, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya tunaikan satu daripada lapan tuntutan Bersih. Laporan minoriti daripada wakil Pakatan Rakyat tidak disertakan, laporan itu tidak dibahaskan pun di Dewan Rakyat. Dan pada malam terakhir sidang parlimen yang ditangguhkan pada jam 3.20 pagi; Dewan telah meluluskan pula rang undang-undang pindaan terhadap peraturan pilihan raya yang membuat laporan Jawatankuasa itu seolah tidak ada apa-apa nilai.
Itu tidak ditambah dengan pembongkaran bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya adalah ahli UMNO.
Jadi untuk ke tiga kalinya rakyat turun ke jalanraya. Rakyat hanya mahu berhimpun duduk bantah selama dua jam secara aman di Dataran Merdeka. Yang di puncak kuasa sudah mabuk kuasa dan tidak endahkan rayuan rakyat. Kuala Lumpur ditutup dan dikunci rapat selama dua hari.


Hampir dua belas jam sebenarnya kemeriahan dirasa, bermula sejak malam sebelumnya. Barangkali sudah tidak sabar dan tidak lagi mampu bertahan dengan pembodohan yang dipaksakan ke atas rakyat terbanyak. Sehingga jam tiga petang, tiada lain yang dapat dilihat di sekitar kawasan Dataran Merdeka selain kawat duri, polis dan kebanjiran ratusan ribu rakyat Malaysia menuntut perubahan secara aman.
Ada yang main bola pantai, ada yang bernanyi, ada yang selit bunga ke baju FRU, semuanya ceria dan tersenyum. Tetapi hanya sehingga jam 3 petang. Selepas itu Kuala Lumpur jadi separa neraka. Dan selebihnya yang turun ke jalan sahaja yang tahu.
Jadi sudah tiga kali. Apakah sudah cukup? Pemerintah tetap angkuh dengan kezaliman mereka. Tuntutan rakyat tetap tidak dipedulikan. Malah fitnah dihamburkan.

Apa yang kita pelajari dari Bersih 3.0?
Pasca perhimpunan Bersih 3, apa sebenarnya yang kita pelajari selain kemampuan pihak berkuasa yang dibayar gaji oleh rakyat untuk nafkah anak, suami dan isteri mereka untuk bikin huru hara? Pastinya kita telah belajar bahawa kemarahan rakyat adalah perkara yang benar, bukan main-main. Pasti juga kita telah belajar bahawa memang ya rakyat mahukan perubahan. Yang tidak mahu perubahan hanyalah yang terbungkam dalam mitos ketuanan etnosentrik tanpa peduli akan bobrok rosak kelompok korup itu.
Hanya manusia yang berfikir guna kepala lutut sahaja akan mengatakan bahawa memang padan muka rakyat yang turun ke jalan raya bikin kecoh sebab nak tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional. Padan muka mereka kena gas pemedih mata dan disepak terajang separuh mati.
Apa dangkal kepala otak kumpulan begini yang memandang UMNO itu ibarat tuhan, yang kalau pun ada salah silapnya maka terus terampun. Ini kesan pembodohan puluhan tahun lampau. Bila mahu dicerahkan, tidak pula rela. Kasihan.
Jadi apa selepas ini? Demonstrasi terus? Ya, boleh saja. Tetapi untuk apa? Najib Razak tidak peduli. Mahu SPR letak jawatan? Mati hidup balik pun belum tentu. Mahu daftar undi dibersihkan? Harapan lah. Sudah berapa ramai zombie dan warga asing dimuat terus ke senarai itu. Mahu akses media yang adil? Jangan mimpi lah.
Sementara itu berita di televisyen terus-terusan meniup trompet Barisan Nasional. Menghidang pembohongan dan kita yang sedia terbodoh ini menelan mentah-mentah. Kenapa? Kerana pembodohan ini telah dirancang dengan sangat baik supaya kekal mereka itu di tampuk kuasa. Maka kasihan para wartawan media arus perdana yang turut menjadi mangsa keganasan polis pada Sabtu lalu.
Yang ditentang habis-habisan segala tuntutan reformasi pilihanraya ini juga tujuannya supaya kekal berkuasa. Apa gila mahu beri ruang kepada Pakatan Rakyat untuk berkempen di TV3? Mana boleh beri ruang untuk pencerahan dan maklumat dari pihak ‘pembangkang’; nanti pecahlah tembelang. Kalau rakyat sudah tahu hal sebenar, bagaimana mungkin mereka mengundi Barisan Nasional lagi?


Apa yang rakyat boleh lakukan?
Jadi jalannya masih panjang. Yang turun ke jalan, harus pulang dan bercerita. Kerana hikayat anda tidak akan didendang media arus perdana. Yang politisi, harus mula bergerak ke serata ceruk dan maklumkan bahawa regim korup ini wajib ditumbangkan atas sebab keangkuhan, kezaliman dan kebiadabannya. Yang memanggil dirinya masyarakat sivil juga harus tetap terus bergerak maju. Kita mahu menang kalah partai-partai politik ditentukan dengan adil dan telus.
Maafkan sepak terajang pihak keselamatan. Biarkan yang lepas itu lepas. Kita bergerak terus. Meminjam kicauan seorang teman, najis mughollazoh (najis berat) itu dicuci mestinya tujuh kali. Sekali dengan air tanah, baru bersih dan suci.
Jalan terus, jangan pandang belakang. Ini bukan soal suka-suka; pemerintahan yang zalim bukan aspirasi kita. Rakyat mahu segala-galanya bersih. Jangan mudah lemah dengan kicauan perkauman, fitnah atas nama agama atau apa sahaja yang mahu menutup bangkai kebobrokan.

Sumber : Roketkini.com

0 Komen pengunjong :