Anwar: BN Gunakan Cara Hitler, Stalin Zalimi Rakyat



SHAH ALAM, 30 APRIL: Tindakan kerajaan yang menganggap rakyat yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 3.0 Sabtu lalu sebagai penjenayah merupakan kaedah yang lazimnya digunakan oleh pemerintah kuku besi seperti di zaman Hitler dan Stalin.
Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbarnya yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Damansara hari ini.
Menurut Anwar kerajaan Umno-BN juga telah memburukan rakyat yang menentang kezaliman mereka melalui media yang dikuasai mereka.
“Cara pemerintah Umno-BN bertindak terhadap 300,000 orang yang berhimpun dengan berani dan gigih yang pastinya mewakili sentimen jutaan rakyat amat dikesalkan.
“Ini adalah kaedah biasa pemerintahan kuku besi mana-mana sahaja yang tidak akan menyebut punca kemarahan rakyat, yang tidak akan ulangi tuntutan rakyat tetapi akan mengalih untuk menjadikan rakyat sebagai mangsa.
“Menggunakan media yang dikuasai oleh parti pemerintah dan kelompok perasuah yang ditentang oleh rakyat.
“Jadi sekarang ini seperti mana di zaman Hitler dan Stalin  di negara-negara kuku besi dan Burma sebelum ini di mana pembantah dianggap penjenayah dan penindas dianggap bersih,” kata Anwar.
Anwar juga menganggap tarikh 28 April 2012 merupakan hari ‘Merdeka Rakyat’ apabila rakyat negara ini bersatu suara bagi menyampaikan mesej kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan bagi menuntuk suatu pilihan raya bebas, adil dan bersih.
“28 april 2012 dgn kehadiran 300 ribu rakyat, bersatu suara meminta pilihan raya yang adil dan bebas.
“Anak muda, wanita datang dengan kebebasan dan semangat menuntut kebebasan dari dirompak oleh kelompok-kelompok lain dan mahu keadilan ditegakkan. Hari 28 April adalah hari merdeka rakyat,” ujar Anwar lagi.
Dalam sidang media yang sama, Anwar berkata tiada sebarang insiden berlaku sehinggalah polis mula bertindak menggunakan kekerasan terhadap rakyat yang berhimpun.
“Dari jam 10 pagi sudah puluhan ribuan yang hadir tetapi tiada satupun insiden yang dapat mencemar imej baik perhimpunan secara aman itu, tetapi kita anggap sebagai satu majlis, pesta rakyat yang dahagakan kebebasan.
“Sebab itu hari itu saya anggap sebagai hari rakyat merdeka,” ujar Anwar lagi.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut berada dalam sidang media itu menambah dengan memberikan contoh demontrasi yang diadakan pada 9 Januari lalu ketika hari keputusan perbicaraan liwat yang dihadapi oleh Anwar.
“Kalau kita ingat semasa perhimpunan 901 lalu polis telah berkerjasama baik dengan kita walaupun cuma beri tempat di kawasan parkir yang tidaklah luas.
“Masa itu polis tidak bertindak mengejar dan sebagainya terhadap perserta perhimpunan, jadi perhimpunan telah berjalan dengan lancar tanpa huru-hara,” ujar Tian Chua.
Ketika menjawab satu soalan, Anwar berkata beliau dan Azmin tidak pernah mengeluarkan arahan agar perserta perhimpunan merempuh pagar duri yang digunakan menutup laluan ke Dataran Merdeka.
Sebaliknya menurut Anwar, beliau hanya mengarahkan peserta bergerak ‘ke kanan’ bermaksud menuju ke arah Jalan Tunku Abd Rahman.
Anwar bagaimanapun berkata, beliau akan mempertahan tindakan peserta perhimpunan yang memasuki ke kawasan Dataran Merdeka yang disifatkannya bukan satu perbuatan jenayah.
Anwar juga dengan sinis menempelak soalan tersebut dengan bertanya adakah memasuki Dataran merupakan satu kesalahan besar berbanding perbuatan menipu dalam pilihan raya.

0 Komen pengunjong :