13 Mei dimanipulasi Umno untuk kekal berkuasa- Johari


KUALA LUMPUR 13 Mei: Tragedi hitam 13 Mei akan terus dimanipulasikan Umno untuk menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kaum di negara ini, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul.
Katanya, sama ada sedar atau tidak, Umno akan terus memainkan isu itu bagi mencetuskan prasangka sesama kaum dengan tujuan terus mengekalkan  kuasa.
“Tragedi 13 Mei ialah sejarah hitam negara berkaitan hubungan kaum di Malaysia dan ia dimanipulasi Umno-BN untuk mengekalkan kuasa setiap kali ia muncul setiap tahun.
“Orang politik mengaut keuntungan darinya dengan membincangkannya dari aspek kepentingan mereka, walaupun kesannya ditanggung rakyat termasuk mereka yang menjadi korban dalam tragedi itu,” katanya kepada Keadilandaily.
Sehubungan itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani mengajak setiap kaum di Malaysia supaya mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.
Ketika ditanya kenyataan Datuk Seri Najib Razak pada himpunan di Kampung Baru pada 1987 yang menyatakan ‘akan memandikan keris dengan darah orang Cina’, Johari berkata, ia mencerminkan wajah sebenar perdana menteri itu.
Najib yang semasa itu memangku Ketua Pemuda Umno, turut mengungkapkan ucapan berbaur perkauman apabila mengatakan  ’13 Mei baru bermula’.
“Saya turut berada semasa Najib mengungkapkan kenyataan berbahaya itu di Stadium TCPA Kampung Baru, namun yang pelik dalam isu ini pemimpin pembangkang ditangkap, manakala pemimpin kerajaan termasuk Najib lepas dan bebas,” katanya lagi.
Sebaliknya kata beliau, Najib kini melaungkan pelbagai slogan seperti  ’1Malaysia’ untuk menarik sokongan kaum bukan Melayu kepada Barisan Nasional.

0 Komen pengunjong :