Wujud task force, PRU13 ‘ibu segala penipuan’


KUALA LUMPUR, 15 April: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut supaya siasatan dilakukan segera ke atas dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahwa wujud sebuah task force mengenai pemberi kad pengenalan kepada warga asing yang didalangi oleh pejabat Perdana Menteri.

“Pendedahan ini amat serius dan melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, dakwaan Mahfuz yang sangat berat itu melibatkan pendedahan nama-nama orang tertentu yang dikatakan terbabit.


Beliau berkata, walaupun mereka telah mengumumkan penafian bahawa mereka tidak terlibat, namun isu utama yang dibangkitkan ialah wujudnya task force untuk tujuan memberi kad pengenalan kepada warga asing untuk tujuan pilhanraya.

“Isu inilah yang perlu mendapat reaksi jelas dari pihak kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, jika benar wujud task force tersebut sebagaimana yang didakwa oleh Mahfuz, maka Mapim menggesa sebuah Suruhanjaya Diraja diwujudkan untuk menyiasat secara terperinci aktor-aktor utama dalam operasi pemberiaan kerakyatan tersebut.


“Kami mendapati sejak pendedahan diumumkan oleh Mahfuz ternyata tidak ada reaksi  dari pihak PM mahupun Menteri Dalam Negeri,” ujarnya.


Jika demikian, ujarnya rakyat tidak ada pilihan lain selain menyangsi kejujuran pihak kerajaan yang telah menggadai kedaulatan negara ini kepada pihak asing hanya kerana mahu memenangi pilihan raya.

Justeru, katanya Mapim merumuskan operasi task force yang didakwa wujud itu boleh menyebabkan Pilihan raya Umum ke-13 yang bakal berlaku akan dicemari oleh pengundi yang didatangkan dari warga asing tetapi mempunyai kad pengenalan.

Tambahnya, jika mereka dilibatkan dalam pendaftaran pengundi, bermakna PRU13 nanti akan merupakan ‘ibu segala penipuan’ yang digunakan oleh pihak kerajaan untuk meraih kemenangan paling kotor dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini.

“Mapim menyokong penuh tuntutan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat secara mendalam mengenai operasi di belakang tadbir ini supaya PRU13 yang akan datang tidak akan dipersoalkan oleh rakyat nanti.


Mohd Azmi menambah, adalah tidak mustahil jika isu pembersihan daftar pengundi tidak benar-benar ditangani dengan jujur secara tuntas oleh SPR, memboikot PRU13 mungkin menjadi pilihan rakyat.

0 Komen pengunjong :